KUANTAN: Kuantan FA menyasar untuk layak ke saingan Piala Malaysia musim ini di bawah bimbingan jurulatih Zulhamizan Zakaria, kata Presidennya, Zaliza Zulkipli. Beliau berkata pihaknya telah membuat rombakan pasukan termasuk dengan melantik Zulhamizan untuk membawa skuad mara lebih jauh. Katanya musim ini Kuantan FA memberi peluang kepada pemain muda anak tempatan untuk beraksi dalam menggilap bakat baharu anak Pahang sendiri. "Dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini, kita melihat pemain muda mampu menyaingi pasukan besar dalam Liga Premier seperti Negeri Sembilan dan Perlis," katanya. Sementara itu Pengurus Kuantan FA Wan Solihi Wan Hassan berkata pihaknya membelanjakan kira-kira RM5 juta sebagai persiapan musim ini. "Jumlah itu akan bertambah sekiranya ada penaja yang ingin menaja Kuantan FA," katanya. Beliau berkata selain sasaran memasuki saingan Piala Malaysia, apa yang diutamakan ialah untuk menarik lebih ramai penonton ke stadium bagi menyaksikan skuad bermain ditambah dengan kehadiran pemain import seperti Ljubo Baranin yang memiliki kemahiran tinggi dan mampu menarik sokongan penonton.