suria

Dollah Masih Cari Ramuan Mantapkan Skuad Perlis

Dollah memberi taklimat kepada pemain-pemainnya sebelum aksi persahabatan pertama pasukan Perlis pada Khamis malam.
KANGAR: Aksi persahabatan pertama pasukan Perlis bertemu Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) yang berlangsung di Stadium Utama Kangar, Perlis pada Khamis malam sekadar mencatat seri tanpa jaringan.

Ketua jurulatih Singa Utara, Dollah Salleh berkata, aksi ini merupakan yang pertama sejak mula menjalani latihan lebih kurang tiga minggu lalu.

"Mungkin kita agak terlambat mengadakan perlawanan persahabatan berbanding dengan pasukan-pasukan lain.

"Skuad baru sahaja lengkap dengan kehadiran kesemua pemain import termasuk yang paling terbaharu, Kayne Vincent.

"Perlawanan ini menjadi landasan untuk melihat keserasian antara semua pemain.

“Pada separuh masa pertama, pemain-pemain kelihatan bagus dan berpeluang untuk menjaringkan gol. Di situ sudah nampak kerjasama pasukan.

“Namun pada sepasuh masa kedua, jelas kelihatan tahap kecergasan yang agak masih kurang.

“Sistem permainan dah ada, tetapi bila buat pertukaran pemain, keadaan agak kucar kacir dengan pemain yang cuba mencari rentak masing-masing. Secara keseluruhannya saya masih belum berpuas hati," jelasnya kepada mStar Online selepas perlawanan.

Mengenai pemain import, Dollah berkata menaruh harapan untuk melihat corak permainan yang baik kepada Mohamadou Sumareh dan Edward Junior Wilson, namun sebaiknya berlaku.

“Kedua-duanya tidak menjadi, tetapi Obinna Nwaneri pula yang mempamerkan pemain baik walaupun tahap kecergasannya belum memuaskan. Dia menjalankan tigas selaku kapten malam ini dengan baik.

“Manakala Kayne meminta untuk beraksi selama 20 minit terakhir kerana masih lagi dalam proses pemulihan kecederaan,” jelasnya.

Tambah bekas jurulatih kebangsaan ini, dia yakin prestasi pemain-pemain ini akan berubah sedikit masa lagi dengan adanya beberapa perlawanan persahabatan yang telah diaturkan.

“Sabtu ini kemungkinan akan berdepan dengan pasukan dari Hat Yai FC dan seterusnya bertemu Kedah pada 1 Februari di sini.

“Selepas itu kami akan ke Krabi bagi meneruskan perlawanan persabahatan dengan kelab di sana.

“Harap semuanya akan nampak perubahan yang lebih baik,” ujar Dollah.

Dollah Salleh, Perlis, Singa Utara

Artikel Sebelum

Keputusan Copa del Rey

Artikel Berikut

Artikel Lain