IPOH: T-Team mengesahkan tiket ke Liga Super 2016 setelah menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 dalam perlawanan play off di Stadium Perak di Ipoh, Sabtu malam. Pasukan berstatus kelab dari Terengganu itu membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi rembatan Ahmad Takiyuddin Roslan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol ATM, Muhamad Hafizuddin. Kelab dengan jolokan The Titans yang dilatih bekas jurulatih kebangsaan Indonesia, Rahmad Darmawan banyak menguasai permainan menyebabkan pemain ATM lebih banyak bertahan. Pemain import dari Croatia, Tomislav Busic menambah gol kedua T-Team pada minit ke-44 untuk membolehkan pasukan itu mendahului 2-0 sehingga waktu rehat. Bermula babak kedua, pemain ATM yang dikendalikan jurulatihnya Azhar Abdullah mula beraksi lebih agresif dan ia akhirnya membuahkan hasil menerusi tandukan Mohd Sukri Mat Hamidi pada minit ke-51. Namun naib juara Piala Malaysia 2012 yang tampil berwajah baru dibarisi majoriti anggota tentera dan tanpa pemain tempatan ternama mahupun bintang import, akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 1-2. ATM yang menduduki tempat ke-11 Liga Super musim lepas dan T-Team, pasukan tangga ketiga Liga Perdana 2015, sepatutnya beraksi di Liga Perdana musim ini. Namun ketiadaan Lions XII dari Singapura yang tidak dijemput tahun ini membuka peluang kepada mereka mengisi kekosongan itu menerusi perlawanan play off berkenaan. Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memutuskan tidak menyambung Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Singapura yang ditandatangani pada 2011. - Bernama