PETALING JAYA: Isu cat warna merah jambu yang dituntut penaja utama Kelantan, Datuk Seri Hasmiza Othman untuk digunakan pada Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Baru, Kelantan yang masih belum selesai sehingga hari ini akan dimuktamadkan pada Selasa depan. Malah, Hasmiza atau lebih dikenali sebagai Datuk Vida berkata, beliau berharap cat warna merah jambu yang sudah ditempah syarikat kontraktor yang dilantik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) iaitu Impian Berkat Trading untuk kerja mengecat dan baik pulih stadium keramat itu sama seperti warna yang dikehendakinya. Menurut Vida, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Impian Berkat Trading, Mohd Halizan Ab Halim di Kota Baru untuk menyelesaikan isu cat berkenaan dengan segara. Usahawan wanita dari Machang itu berkata pertemuan tersebut diatur memandangkan secara kebetulan beliau akan ke Kota Baru bagi menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) menentang Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan. "Alang-alang saya ke Kota Baru pada 2 Februari ini maka pertemuan itu diatur untuk menyelesaikan isu warna cat yang masih belum selesai sehingga hari ini. "Saya harap warna cat yang ditempah itu kena dengan warna yang saya nak," katanya kepada mStar Online. Vida turut melahirkan kekecewaan kerana syarikat tersebut membuat tempahan cat tanpa mendapatkan persetujuan dengannya terlebih dahulu. "Saya agak kecewa sedikit kerana mereka tempah tanpa dapatkan pengesahan warna yang saya nak. Sepatutnya mereka bincang dahulu dengan saya untuk elak timbul sebarang masalah," katanya. Ditanya sekiranya beliau tidak berkenan dengan warna tersebut, Vida berkata beliau akan mempertimbangkan cat yang sudah ditempah itu. "Jika ia tidak sama dengan warna yang saya nak, saya akan pertimbangkan, mungkin terpaksa akur sahaja dengan warna tersebut," katanya. Beliau turut mengakui warna merah jambu yang dikehendakinya amat sukar untuk dihasilkan syarikat pengeluar cat. "Sudah lebih 10 syarikat yang menawarkan cat warna merah jambu tetapi ia tidak seperti yang saya inginkan. Campuran warna itu sukar untuk dihasilkan," katanya. Jelas Vida lagi, warna merah jambu yang dikehendakinya itu lebih kepada warna magenta iaitu antara ungu dan mawar yang dicampur merah muda. Sementara itu, Mohd Halizan berharap agar Vida berpuas hati dengan cat merah jambu yang sudah ditempah dari sebuah syarikat pengeluar cat di Klang, Selangor. "Saya akan serahkan sampel cat tersebut pada pertemuan itu nanti. Warna itu hampir 99.8 peratus menyamai warna pilihan Vida, cuma masih belum mendapat kata putus daripada beliau," katanya. Beliau berkata pihaknya sudah menempah sebanyak 200 tong cat dengan warna DSV Pink yang dijangka tiba pada Sabtu. "Jika keadaan mengizinkan, saya akan buat ujian dengan mengecat di beberapa tempat sebelum tunjukkan kepada Vida pada Selasa depan. Kita harap beliau setuju supaya kerja mengecat dapat dimulakan," katanya. Mohd Halizan turut bimbang jika isu warna cat tersebut masih belum diselesaikan, kerja mengecat stadium tersebut tidak dapat diselesaikan mengikut tarikh ditetapkan. "Sekarang pun kerja mengecat tertangguh sejak Selasa lalu kerana hujan. Kita harap cuaca kembali baik dan kerja mengecat dapat diteruskan sebaik sahaja warna cat merah jambu tersebut dipersetujui Vida," katanya.