suria

Klopp Nafi Khabar Angin Sturridge Bakal Tinggalkan Liverpool

Daniel Sturridge.

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp menyangkal khabar angin bahawa Daniel Sturridge akan meninggalkan pasukan itu pada hujung musim ini.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya melakukan enam penampilan dan menjaringkan empat gol dalam semua perlawanan musim ini.

Susulan itu, Klopp menyatakan rasa kecewa dengan prestasi hambar penyerang sensasi tersebut yang masih bergelut dengan masalah kecergasan.

Baru-baru ini, timbul dakwaan bahawa pemain kebangsaan England itu tidak berpuas hati dengan cara pasukan itu mengendalikan masalah kecederaan yang dihadapinya.

Ia sekali gus menimbulkan desas-desus bahawa Sturridge berminat untuk mencuba nasib bersama kelab baharu.

Namun, Klopp menyedari keinginan penyerang itu untuk kembali mempamerkan prestasi terbaiknya.

"Sturridge kecewa? Saya tidak tahu dari mana berita ini timbul dan saya tidak berminat dengan dakwaan dia akan meninggalkan kelab ini.

"Dia ada masalah pada masa lalu tetapi semuanya sudah berlalu. Biarkan sahaja. Saya tidak mendengar apa-apa, jadi tiada apa yang perlu diperkatakan.

"Setiap pemain perlu konsisten dalam latihan dan bersedia untuk beraksi dalam Liga Perdana Inggeris. Kita sudah cuba melakukan yang terbaik," kata Klopp.

Menurut Klopp, Sturridge berada dalam keadaan baik pada sesi latihan minggu ini.

"Dia mula berlatih selama dua hari. Dia tidak akan beraksi pada Sabtu tetapi akan diturunkan menentang West Ham dalam perlawanan Piala FA pada Selasa depan," kata Klopp.

Liverpool dikatakan berminat untuk menyambar penyerang Brazil, Alex Teixeira ketika pintu perpindahan pemain dibuka semula pada Januari lalu tetapi gagal mendapatkan khidmat pemain itu dari Shakhtar Donetsk.

Sebaliknya Donetsk menjual penyerang berusia 26 tahun itu kepada Jiangsu Suning.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain