KEHADIRAN bekas pengurus Chelsea, Jose Mourinho ke Old Trafford dikatakan semakin hampir pada musim panas ini. Menurut laporan Daily Mail, Mourinho menunjukkan maklum balas positif dalam pertemuan dengan pihak pengurusan tertinggi Manchester United. Walaupun tiada perjanjian telah ditandatangani, Mourinho dikatakan hanya menunggu masa sahaja untuk menggantikan kerusi panas yang ketika ini diisi, Louis van Gaal. Namun, Manchester United enggan mengulas lanjut mengenai desas-desus bahawa kelab itu sudah mengadakan rundingan dengan wakil Mourinho. Pertemuan secara tertutup itu dilaporkan diadakan pada petang Jumaat. Mourinho yang dipecat dari Chelsea pada Disember lalu dikatakan bakal dilantik sebagai pengurus baharu Manchester United sekiranya Van Gaal mengambil keputusan angkat kaki pada musim panas ini. Pada ketika ini, Van Gaal masih mempunyai baki kontrak selama setahun bersama Red Devils. Pada Isnin lalu, seteru utama United, Manchester City mengumumkan pelantikan bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola sebagai pengurus baharu kelab itu pada musim panas ini. Susulan kehadiran Guardiola, United dilaporkan terpaksa mencari pengganti baharu Van Gaal untuk mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu. Mourinho pernah mengemudi Chelsea memenangi tiga trofi Liga Perdana Inggeris. Beliau turut mencatatkan rekod cemerlang bersama Porto, Real Madrid dan Inter Milan.