KETUA Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe menyangkal dakwaan mengenai pemain pertahanan pasukan itu, Bang Seung Hwan yang akan disingkirkan dari skuad musim ini untuk digantikan dengan pemain bekas pertahanan Daejeon Citizen musim lalu Alvaro Silva Linares yang memiliki kerakyatan Filipina. Penafian itu dibuat selepas sebuah akhbar tempatan melaporkan Alvaro yang kini berada di Alor Setar sejak minggu lalu dan menjalani latihan bersama bakal diserap ke skuad tersebut dalam tempoh terdekat. “Saya sebagai ketua jurulatih terkejut dengan berita ini, saya tidak tahu langsung mengenainya dan sudah pasti Seung Hwan adalah tonggak pertahanan kita. Setahu saya Alvaro hanya menjalani latihan bersama kita dan tidak lebih daripada itu. “Tidak ada sebab mengapa kita perlu menukar pertahanan kerana setakat ini aksinya pada enam perlawanan ujian lalu cukup cemerlang. Sebagai ketua jurulatih pertukaran pemain adalah dengan izin saya bersama pihak pengurusan. “Kini barisan pemain sedang berada dalam fasa latihan terakhir sebelum berdepan cabaran Felda United FC di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. Saya mahu memastikan tumpuan pemain adalah terhadap perlawanan itu dan bukan pada perkara lain,” katanya. Tambah Cheng Hoe, kesemua pemain sedang berkerja keras untuk memastikan mereka berada dalam kesebelasan utama ataupun sekurang kurangnya dalam skuad 18 pemain yang akan bertolak ke Jengka l. “Mereka tidak ada masa untuk memikir mengenai khabar angin kerana tumpuan sebenar adalah memantapkan diri dari segi mental dan fizikal demi berada dalam kesebelasan utama. “Pemain juga tahu latihan selama lima hari ini bakal menentukan sama ada mereka dapat menjadi tonggak utama atau tidak," tegasnya. Cheng Hoe turut berharap khabar angin itu tidak mengganggu rentak permulaan liga Seung Hwan dan menjadikan skuad tersebut kucar-kacir.