suria

ATM, Kelantan, Felda United Masih Berhutang Dengan Pemain

Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail (duduk tengah) menjawab pertanyaan berhubung tututan gaji pemain-pemain ATM, Kelantan dan FELDA United pada sidang media di Kuala Lumpur, Selasa. Hadir sama Presiden PFAM, Hairuddin Omar (dua kiri). Foto: Bernama

HANYA tinggal dua hari lagi pembukaan saingan Liga Malaysia 2016, namun isu tunggakan gaji pemain belum menemui jalan penyelesaian.

Isu tunggakan gaji ini bukan sahaja diambil remeh oleh pasukan-pasukan yang terlibat, malah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) seolah-olah tidak peka dengan masalah yang dihadapi segelintir pemain.

Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Hairuddin Omar, yang merupakan antara pemain terjejas dalam isu berkenaan, kecewa terhadap Jawatankuasa Status FAM yang kurang efisien bagi menyelesaikan perkara itu yang berulang pada setiap musim. 

"Banyak kes yang kita hantar memang lambat respons, seperti Izham beritahu sebelum ini, untuk beri respons sahaja mereka (FAM) mengambil masa 100 hari. Ini sangat tidak sihat dalam bola sepak kita," jelasnya yang akan beraksi dengan pasukan Terengganu musim ini.

Antara pasukan yang terlibat dengan tunggakan gaji pemain-pemain adalah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kelantan dan Felda United.

Lebih mengecewakan, bekas pemain Kelantan Amiridzwan Taj Tajuddin mendedahkan pasukan itu tidak berlaku adil apabila hanya melunaskan baki tunggakan kepada pemain-pemain kekal bersama skuad itu.

Sebaliknya lima pemain (termasuknya) masih menunggu tunggakan tiga bulan gaji yang berjumlah RM477,000.

"Kami hanya meminta hak kami. Kafa perlu adil. Saya diberitahu, siapa yang kekal bersama pasukan itu telah menerima tunggakan gaji mereka.

"Malah pemain baharu juga telah menerima yuran kontrak...ia sangat mengecewakan kami."

Selain itu, naib presiden PFAM, Rezal Zambery Yahaya mendakwa sesetengah pasukan lebih pentingkan perkara lain berbanding menyelesaikan hutang pemain.

"Tunggakan gaji pemain sepatutnya diberi keutamaan oleh pengurusan pasukan.

"Tetapi pasukan sekarang lebih berminat untuk mengecat stadium dan kecoh mengenai tajaan jersi. Mereka seolah lupa mengenai tunggakan gaji yang boleh memberi kesan kepada prestasi pasukan," katanya.


Senarai pemain gaji tertunggak

ATM
: Hairuddin Omar, Abdul Syukur Jusoh, Mohd Affize Faizal Mamat, Syed Adney Syed Hussien, Muhammad Azreen Zulkafli, Mohd Riduwan Ma'on, Norfazly Alias, K.Reuben, Yusaini Hafiz Che Saad, S. Thinagaran, Azmeer Yusof, Razi Affendi Suhit, Jerry Palacios, Obinna Nwaneri, Abdulafees Abdulsalam.

KELANTAN: Amiridzwan Taj Tajuddin, Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani, Mohd Fitri Omar, Muhammad Nazri Ahmad

FELDA UNITED: Mohd Azrul Ahmad.




Gaji Tertunggak, ATM, Kelantan, United

Artikel Sebelum

Artikel Lain