SUKAN Olimpik 2016 bakal berdepan dengan boikot daripada atlet-atlet dunia berikutan virus Zika yang kini dilaporkan menyerang negara Brazil dan Amerika Latin. Virus Zika berpunca daripada pembawaan nyamuk yang boleh memberi kesan kepada kecacatan bayi baru lahir dan kelainan ukuran kepala bayi. Virus Zika disebarkan oleh nyamuk Aedes aegypti. Salah seorang atlet dunia dari Britain yang berkemungkinan akan menarik diri daripada menyertai Olimpik Rio ini adalah Jessica Ennis-Hill. Atlet pingat emas acara heptathlon ini memantau perkembangan virus ini menjelang Sukan Olimpik yang tinggal kurang daripada enam bulan lagi pembukaan rasminya. Menurut ejennya: "Saya dan Jess sedang memerhatikan perkembangan virus ini secara serius. Dia akan mendapat nasihat daripada Persatuan Olimpik Britain (BOA) dan jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC)". Sementara itu, penjaga gol wanita Amerika Syarikat, Hope Solo berkata, dia tidak akan menyertai aksi di Brazil jika temasya itu bermula sekarang. Perkembangan terkini mengenai virus Zika didedahkan dengan seorang wanita mengandung dari Queensland didapati positif selepas kembali dari El Salvador Disember lalu. Ia merupakan kes ketiga yang berlaku di Queensland, Australia.