suria

Khairul Idham Tak Sabar Mula Aksi Moto3

PELUMBA muda berbakat, Khairul Idham Pawi tidak sabar untuk turun ke litar apabila bakal menguji jentera yang akan digunakannya pada musim pertama di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) pada sesi ujian pra-musim Moto3 di Valencia, Sepanyol, 11 dan 12 Februari ini.

Pelumba pasukan Honda Team Asia itu menjelaskan dia mahu memanfaatkan sepenuhnya sesi ujian tersebut bagi mendapatkan keserasian bersama jentera dan juga pasukan. 

“Sesi ujian awal musim ini amat penting bagi saya. Ini merupakan aksi pertama bersama pasukan di pentas MotoGP, jadi banyak perkara yang perlu saya pelajari,” jelasnya. 

Tambah pelumba berusia 18 tahun itu, “Pada masa sama, saya juga tidak sabar untuk berada di atas litar bersama-sama dengan pelumba handalan lain. Memang sudah lama saya nantikan saat ini dan akhirnya ia menjadi kenyataan".

Pada musim lepas, juara kategori Wira Kejuaraan Cub Prix dan Asia Dream Cup 2014 itu mencipta kejutan apabila berjaya meraih tangga keenam keseluruhan pada musim pertamanya di Kejuaraan Moto3 Remaja Dunia di Sepanyol termasuk meraih tiga kedudukan podium. 

“Saingan musim ini pasti jauh lebih sukar. Selain faktor jentera yang lebih laju, pengalaman pelumba-pelumba juga memainkan peranan. Saya dan pasukan tidak menetapkan sebarang sasaran khusus kerana apa yang penting adalah untuk saya membiasakan diri dengan suasana perlumbaan di MotoGP terlebih dahulu. 

“Sebagai persediaan, saya tidak berhenti melakukan latihan fizikal dan juga di litar sepanjang beberapa bulan ini bagi mempersiapkan fizikal dan mental sebelum memulakan saingan Moto3 musim 2016 ini," katanya.

Khairul Idham, Moto3

Artikel Berikut

Artikel Lain