suria

Goh, Tan Ketuai Cabaran Di Suku Akhir Masters Thailand

Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong.

KUALA LUMPUR: Beregu lelaki utama negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong mengetuai cabaran empat wakil Malaysia ke suku akhir Kejohanan Masters Thailand Puteri Sirivannavari di Bangkok, Rabu.

Goh/Tan yang juga pilihan keenam mara selepas menundukkan beregu tuan rumah, Inkarat Apisuk/Sutichon Pol-Gul 21-11, 21-17 di pusingan kedua.

Turut mengiringi mereka ke pusingan seterusnya adalah naib juara dunia 2010, Koo Kien Kiat/Tan Boon Heong yang mengalahkan Choi Solgyu/Kim Jae Hwan dari Korea Selatan 21-16, 21-15.

Beregu wanita utama negara, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei dan beregu  campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut mengesahkan tempat ke suku akhir pada ketika cabaran pemain perseorangan lelaki negara berakhir di kejohanan ini.

Vivian/Woon bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menang 17-21, 21-14, 21-19 ke atas pasangan Indonesia, Tiara Rosalia Nuraidah/Rizki Amelia Pradipta manakala Chan/Goh menjinakkan satu lagi pasangan Indonesia, Rian Swastedian/Apriani Rahayu 21-10, 21-8.

Nasib berbeza dialami dua wakil negara dalam acara perseorangan lelaki apabila juara dunia remaja 2011, Zulfadli Zulkiffli dan Tan Chun Seang gagal meneruskan kemaraan.

Zulfadli tewas straight set 17-21, 14-21 kepada pilihan kedua, Son Wan Ho dari Korea Selatan manakala Tan kalah 17-21, 21-18, 9-21 kepada seorang lagi pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin dalam aksi pusingan ketiga.

Malaysia tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan wanita di kejohanan berstatus Grand Prix Emas yang menawarkan hadiah berjumlah US$120,000 (RM498,267). - BERNAMA


Masters Thailand, badminton

Artikel Sebelum

Artikel Lain