KUALA TERENGGANU: Penulis blog dan wartawan diminta memainkan peranan untuk sama-sama menaikkan imej Terengganu dalam arena bola sepak negara. Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) Marzuki Sulong berkata penulis blog terutamanya diminta tidak menulis perkara yang boleh menimbulkan keburukan seseorang. "Menulis sesuatu yang tidak betul merupakan satu fitnah," katanya pada majlis ramah mesra PBSNT bersama penulis blog dan wartawan di sini Rabu. Turut hadir, Presiden PBSNT Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid dan Setiausaha Agung PBSNT Aripin Draman. Marzuki yang juga pengurus pasukan Terengganu berkata beliau kecewa setelah beberapa penulis blog telah memalukannya dalam perkara yang beliau tidak pernah lakukan baru-baru ini. "Saya tidak tahu bagaimana penulis blog boleh menimbulkan perkara itu, saya rasa sungguh malu dan terhina dengan tulisan berkenaan," katanya. Wan Ahmad Nizam juga berkata dakwaan yang disebarkan di media sosial kononnya beliau mencampuri urusan pemilihan pemain untuk sesuatu perlawanan adalah tidak benar kerana pemilihan dibuat oleh ketua jurulatih Ahmad Yusof. Dalam pada itu, beliau berkata PBSNT membelanjakan hampir RM1 juta untuk pengurusan pasukan termasuk membayar gaji pemain setiap bulan. Beliau turut mengharapkan pemain menunjukkan kesungguhan untuk merealisasikan impian memenangi sekurang-kurangnya satu piala musim ini. - BERNAMA