suria

Barca Ke Final Copa del Rey

BARCELONA mencatatkan keputusan seri 1-1 ketika menentang Valencia dalam saingan semi final kedua Copa Del Rey (Piala Raja Sepanyol) di kandang Valencia, awal pagi Khamis.

Keputusan itu sekali gus melayakkan Barca beraksi di final setelah menang besar ke atas Valencia 7-0 pada separuh akhir pertama. Barca mara dengan agregat 8-1.

Menanti Barcelona di final adalah pemenang antara Celta Vigo dan Sevilla yang akan turun bermain, awal pagi Jumaat.

Turun padang dengan kelebihan tujuh gol, Luis Enrique memilih untuk menurunkan skuad lapis keduanya.Begitu juga dengan Gary Neville yang memutuskan menurunkan pasukan campuran pemain muda dan senior.

Walaupun kelebihan memihak kepada Barcelona, namun tekanan perlawanan tetap tinggi pada minit-minit awal babak pertama. Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang menarik.

Namun, pada minit ke-27, pemain muda Valencia berusia 17, Fran Villalba mendapat peluang emas untuk mendahului. Sayangnya, bolanya melambung di atas palang gawang Marc-Andre Ter Stegen.

Setelah berkali-kali berusaha, Valencia akhirnya memecahkan kebuntuan gol pada minit ke-39. Pemain veteran Alvaro Negredo berjaya lolos bersendirian dan berhadapan satu lawan satu dengan Ter Stegen.

Usaha pertamanya mampu dihalang Ter Stegen dan bola melantun. Negredo tidak melepaskan peluang mencubanya sekali lagi dan kali ini berhasil. Skor 1-0 menutup babak pertama.


Masuk separuh masa kedua, Valencia mendapat beberapa peluang untuk menggandakan skor, tetapi nasib tidak menyebelahi mereka.

Pada minit ke-82, Enrique menurunkan Wilfrid Kaptoum menggantikan Sandro Ramirez. Hanya dua minit selepas masuk ke padang, pemain 19 tahun ini berjaya mencatatkan namanya di papan skor dengan bantuan daripada Juan Mesa. Kedudukan berubah menjadi 1-1 sehingga tamat permainan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Piala FA Inggeris

Artikel Lain