PETALING JAYA: Cadangan pemilik skuad Johor Darul Takzim (JDT) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan debat terbuka berhubung isu bola sepak negara adalah berbentuk peribadi. Bagi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, ia terpulang kepada individu dan organisasi yang ingin menyertai debat itu. "Mungkin itu adalah kenyataan umum Tunku Mahkota. Bagi FAM, kita fokus dengan apa yang kita buat," katanya ketika diminta mengulas mengenai debat berkenaan. Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Bola Sepak Wanita FAM 2016 di sini pada Khamis. Semalam, Tunku Ismail menerusi laman Facebook Johor DT mencabar mana-mana individu atau organisasi untuk berdebat secara terbuka di televisyen berhubung isu bola sepak negara. Tunku Ismail berkata cabaran berdebat itu ditawarkan kepada mana-mana individu yang tidak puas hati dengan apa sahaja kenyataannya mengenai bola sepak selama ini. Hamidin ketika ditanya sama ada debat adalah cara terbaik menangani masalah bola sepak negara berkata: "Saya tidak pasti kalau itu adalah pendekatan yang terbaik." "Saya ada pandangan saya sendiri...terpulang kepada mana-mana pihak yang ingin berdebat. Jadi, kita beri ruang kepada pihak yang berminat. Sekarang ini pendekatan dah berbeza, bola sepak dah tak sama macam 20 tahun dulu," kata Hamidin. Dalam perkembangan lain, Hamidin berkata keputusan sama ada mahu melantik pembantu jurulatih tempatan atau dari luar negara untuk skuad Projek Sukan SEA 2017 akan ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bola Sepak Majlis Sukan Negara (MSN) dan FAM esok. "Segala yang dicadangkan (jurulatih Projek Sukan Sea 2017) Frank Bernhardt akan dibincangkan dalam mesyuarat itu. FAM sudahpun beri SOP (prosedur operasi standard) kepadanya...yang akan dibincangkan termasuk program yang akan dilaksanakan dan calon pembantu jurulatih," kata Hamidin. Bernhardt dikatakan mahu mengambil pembantu jurulatih asing bagi membantunya menguruskan pasukan itu. Sebagai rekod, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin sebelum ini menyarankan agar jurulatih Projek Sukan SEA 2017 itu memilih pembantu jurulatih tempatan bagi mengendalikan skuad B-22 berkenaan.