suria

Felda United Mula Langkah Kanan Aksi Pembukaan Liga Super

Kapten Felda United, Shukor Adan (kiri) menghalang pemain Kedah, Sandro Da Silva pada perlawanan pertama Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada Sabtu malam. Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Wakil kelab, Felda United memulakan saingan Liga Super 2016 dengan langkah kanan selepas melakar kemenangan selesa 2-0 ke atas juara Liga Perdana 2015, Kedah di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Kemenangan itu menyaksikan skuad 'The Fighters' kendalian Irfan Bakti Abu Salim mendahului kedudukan carta Liga Super selepas aksi pertama pada Sabtu malam.

Dua gol tuan rumah dihasilkan pemain import, Lutfulla Turaev dari Uzbekistan pada minit ke-64 dan Zah Rahan Krangar dari Liberia menerusi sepakan penalti, selang empat minit kemudian.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengekori rapat selepas menang tipis 1-0 ke atas Sarawak di Stadium Hang Jebat, Melaka hasil jaringan tunggal Ali Ashfaq pada minit ke-76.

Terengganu FC turut meraih tiga mata penuh di laman sendiri selepas menang 1-0 ke atas Pulau Pinang hasil jaringan pemain import dari Argentina, Gustavo Lopez pada minit ke-24 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Pandangan di dalam Stadium Tun Abdul Razak.

Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang FC yang dibarisi sebahagian besar pemain muda mengikat Terengganu FC II 2-2 menerusi jaringan pada minit akhir.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan penyerang import dari Slovenia, Dalibor Volas pada minit ke-19 dan German Ezequiel Pacheco Gonzalez dari Argentina pada minit ke-90.

Pasukan pelawat yang sebelum ini dikenali sebagai T-Team meraih jaringan menerusi Muhammad Sapawi Rasid pada minit ke-71 dan bekas pemain skuad Bawah 23 kebangsaan, Izzaq Faris Ramlan pada minit ke-88.

Terdahulu, tuan rumah terpaksa beraksi dengan 10 pemain setelah pemain pertahanan, Mohd Saiful Nizam Miswan diperintah keluar padang oleh pengadil, S. Sittharajanan selepas menerima kad kuning kedua pada minit ke-32.

Perak pula gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila hanya seri tanpa jaringan ketika berdepan Kelantan di Stadium Perak, Ipoh. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain