suria

Piala Dunia IPC Medan Akhir Kelayakan Ke Paralimpik Rio

Kamaruzaman Kadir (belakang, kiri) dan Penolong Ketua Kontinjen Negara, Jason Lo (belakang,dua,kiri) bergambar dengan atlet olahraga paralimpik yang bertanding dalam Kejohanan 2016 IPC Powerlifting World Cup Kuala Lumpur. - fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) di sini dari 24-27 Feb akan menjadi medan akhir kelayakan ke Sukan Paralimpik Rio de Janeiro pada September depan.

Kejohanan empat hari itu melibatkan 312 atlet dan pegawai dari 42 negara termasuk Malaysia yang akan berlangsung di sebuah hotel di sini.

Ia akan dirasmikan penaung Majlis Paralimpik Malaysia Tun Jeanne Abdullah.

"Malaysia akan diwakili 20 atlet iaitu 16 atlet lelaki dan empat wanita," kata Presiden Persatuan Powerlifting Para Malaysia, Lt Kdr (B) Kamaruzaman Kadir pada sidang media mengenai kejohanan itu di sini, Khamis.

Mengenai penyertaan atlet elit paralimpik negara dalam kejohanan itu, Kamaruzaman berharap mereka akan dapat membuat angkatan yang mampu memberi saingan kepada atlet luar.

"Setakat ini kita ada dua atlet yang disasarkan untuk layak ke Rio. Saya boleh katakan mereka sudah sebelah kaki menghampiri peluang ke Sukan Paralimpik," katanya.

Menurut Kamaruzaman, secara teknikal hanya lapan atlet dengan jumlah angkatan terbaik dalam setiap kategori layak secara merit dan dua lagi sebagai simpanan.

"Bagaimanapun, setiap negara hanya boleh diwakili satu atlet sahaja. Contohnya jika China mempunyai tiga atlet berada dalam lapan terbaik itu, mereka boleh pilih seorang sahaja untuk mewakili mereka dalam kategori berkenaan," jelas Kamaruzaman.

Sementara itu, bagi Jong Yee Khie, beliau perlu konsisten dan berusaha sekurang-kurangnya membuat angkatan 217 kilogram untuk berada dalam kedudukan terbaik.

"Sekarang ini pencapaian terbaik saya ialah 210kg tetapi saya perlu sentiasa berfikiran positif dan berusaha memperbaikinya," kata Yee Khie yang akan beraksi dalam kategori 97kg lelaki.

Menurutnya saingan pada Piala Dunia Powerlifting IPC itu sangat sengit khususnya daripada atlet China dan Iran, memandangkan ia adalah kejohanan terakhir untuk melayakkan diri.

Selain Yee Khie, Malaysia akan diwakili Mohd Shahmil Wan Azman (107kg), Vision Jasni (65kg); Muhammad Zaki Ismail dan Hazrin Che Hassan (72kg); Ma Hussein Mat Noh dan Hendrizal Sarman (80kg); Nurul Azhar Norin (88kg); Mohd Faiz Hussain (97kg).

Peserta wanita pula terdiri daripada Bibiana Ahmad (61kg), Sona Agon (67kg), Surita Saad (79kg), Noormyra Azni Rosli (86kg), Syarifah Raudzhah Syed Akil (86kg) dan Norfariza Mortadza (lebih 86kg).

Lima peserta bagi kategori remaja pula adalah Wan Nur Azri Wan Azman (97kg), Mohd Azmi Aziz Asipun (49kg), Bonnie Bunyau Gustin (54kg), Bryan Juneney Gustin (49kg) dan Muhamad Syalqi Shikri (65kg). - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain