MANOR Racing mengumumkan penampilan sulung Rio Haryanto dalam aksi Formula Satu (F1) sebagai pemandu kedua musim 2016 bersama Pascal Wehrlein. Haryanto dari Indonesia pelumba GP2 ketika musim 2015 dijangka menjalani ujian di Barcelona minggu depan. Pemilik Manor Racing, Stephen Fitzpatrick berkata: "Kami berbangga untuk mengumumkan pelumba kedua pasukan, Rio bagi musim 2016. "Rio telah berlumba sejak berumur enam tahun dalam aksi kart. Dia mempunyai jiwa besar dan menunjukkan aksi menakjubkan dalam saingan GP2 sebelum ini. "Kami yakin dan tidak sabar untuk melihatnya berlumba nanti". Sementara itu Haryanto berkata, Manor Racing mempunyai perancangan serta visi dan cita-cita. "Mereka menyediakan pakej yang menarik dan saya tidak sabar untuk berlumba. "Melbourne bakal menyaksikan saat penting untuk saya, negara saya dan peminat-peminat yang terus menyokong, malah 2016 merupakan peluang untuk melahirkan ganjaran dan takdir yang baik bagi mewakili Asia dalam F1".