suria

Terengganu FA, T-Team Diberi Amaran Tingkatkan Prestasi

Penyerang Pahang German Pacheco (jersi kuning) berjaya menumpaskan pertahanan dan penjaga Gol Terengganu FC II, Wan Ahmad Amirzarfan (kanan) dan Wan Muhammad Azraie (kiri) untuk menjaringkan gol penyamaan pada aksi bolasepak Piala FA di Stadium Darul Makmur pada Jumaat malam. Foto: Bernama

KUALA NERUS: Kerajaan Terengganu memberi amaran akan menarik balik atau menghentikan bantuan kewangan kepada kedua-dua pasukan bola sepak dari negeri itu, Terengganu FA dan T-Team jika terus mempamerkan prestasi hambar pada aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri sudah memberi komitmen dengan melaksanakan pelbagai langkah bagi memastikan kedua-dua pasukan berkenaan dapat beraksi cemerlang dalam saingan liga itu.

Ia termasuk memberi dana RM5 juta kepada kedua-dua pasukan berkenaan dan pembayaran gaji pemain mengikt jadual, katanya kepada pemberita selepas menutup Program Warga Pendidikan Sekolah-Sekolah Dewan Undangan Negeri (DUN) SeberangTakir, di sini pada Sabtu.

"Saya terkilan dengan keputusan perlawanan Piala FA (semalam) kerana kita sudah menunjukkan komitmen dan membuat pelaburan yang besar, kira-kira RM5 juta bagi kedua-dua pasukan ini.

"Jika prestasi masih tidak baik, saya beri amaran mungkin kita tarik balikbantuan atau jika masih teruk, setakat itu sahaja (RM5 juta) kita beri,"katanya.

Ahmad Razif diminta mengulas mengenai kekalahan pasukan Terengganu kepada PKNS FC 1-3, manakala T-Team tumpas 1-2 kepada Pahang pada perlawanan Piala FA pada JUmaat.

Terdahulu, Ahmad Razif dalam entri di laman Facebooknya, berkata kedua-dua pasukan itu perlu menebus kembali kegagalan mereka pada aksi seterusnya dalam Liga Super.

Beliau berkata pihak pengurusan dan pemain perlu bertanggungjawab untuk mengembalikan semula reputasi masing-masing dalam saingan Liga M itu.

"Mereka perlu segera bangkit dan jadikan kekalahan ini sebagai pemangkin dalam memburu kejuaraan, sebagaimana dijanjikan kepada seluruh rakyat Terengganu.

"Saya mahu pemain lebih bertanggungjawab dengan memastikan kita tidak terlepas dua lagi kejuaraan. Kita sudah sediakan semua, sekarang mereka (pengurusan dan pemain) harus menunaikan janji," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Razif menegaskan jika bola sepak serta tiga lagi kluster sukan - hoki, berbasikal dan kuda lasak, tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan, kerajaan negeri tidak teragak-agak memberi tumpuan kepada sukan-sukan lain yang lebih berpotensi.

"Kita sudah lancarkan tabung (Pembangunan Sukan Negeri Terengganu) yang memberi fokus kepada empat sukan utama iaitu bola sepak, hoki, berbasikal dan kuda lasak.

"Kita akan lihat prestasi (sukan-sukan ini) dari semasa ke semasa, jika tidak menunjukkan prestasi yang baik, kita akan ganti dengan sukan lain yang berpotensi seperti berkayak atau silat," katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain