LOUIS van Gaal mengakui Manchester United tidak lagi digeruni pasukan lawan pada hari ini sebagaimana ketika dibawah kendalian bekas pengurus Sir Alex Ferguson suatu masa dahulu. Ini berikutan kegagalan United dalam menjelmakan kemenangan dalam setiap perlawanan terutamanya ketika berdepan beberapa kelab kerdil musim ini. Dalam dua perlawanan terakhir, United tewas kepada Sunderland pada aksi Liga Perdana Inggeris dan Midtjylland pada Liga Europa. Kekalahan itu ternyata memberi tekanan hebat kepada Van Gaal yang nasibnya kini bergantung kepada pertemuan United menentang Shrewsbury Town pada pusingan kelima Piala FA, awal pagi Selasa. Justeru beliau mahu anak buahnya mengetepikan perasaan takut menjelang pertemuan yang akan menentukan kedudukannya di Old Trafford. Van Gaal perlu mencari ramuan taktikal terbaik untuk diserapkan ke dalam pasukan bagi memburu mata kemenangan selepas pretasi hambar pada dua aksi terdahulu. "Apabila anda melihat dua perlawanan akhir, ia mungkin berakhir dengan kekalahan. Namun kami perlu membuat mereka takut semula dengan pasukan ini. "Kami juga tewas pada perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris menentang Swansea City apabila saya pertama kali datang ke sini. "Namun kami masih mempunyai rekod baik di gelanggang sendiri musim lalu dan boleh lakukannya semula. Ia adalah persoalan memenangi perlawanan berturut-turut. "Saya sudah maklumkan kepada pemain, kerana pasukan ini tidak boleh terus kalah," katanya.