suria

Ambil Peluang Di Laman Sendiri - Zainal

Zainal Abidin Hassan.

KUALA LUMPUR: Skuad Gergasi Merah perlu mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk memastikan mata penuh dalam perlawanan kedua Kumpulan E Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Tampines Rovers, malam Selasa.

Ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan percaya pemainnya mampu menampilkan aksi yang lebih baik menentang kelab dari Singapura yang dikenali sebagai The Stags di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu.

"Persiapan kami berjalan dengan baik dan pemain sedar kesilapan yang dilakukan sebelum ini sehingga membenarkan lawan bangkit. Saya percaya mereka akan tampil lebih baik menentang Tampines," katanya dalam sidang media pra-perlawanan di sini, Isnin.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu mengakui pasukannya akan menerima tentangan sengit daripada skuad bimbingan V. Sundramoorthy yang dikuatkan dengan ramai bekas pemain Lions XII yang menjuarai Liga Super pada 2013.

Pada masa sama, Zainal mahu pemainnya melupakan kekalahan 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pusingan ketiga Piala FA empat hari lepas, sebaliknya memberi tumpuan kepada pertemuan dengan Tampines Rovers.

Sebagai rekod, Selangor seri 2-2 dalam perlawanan pertama mereka menentang Ceres La Salle dari Filipina manakala Tampines Rover menang 4-0 ke atas pasukan dari Bangladesh, Kelab Sheikh Jamal Dhanmondi.

Zainal juga berkata kesemua pemainnya cergas untuk perlawanan pada Selasa kecuali penyerang Ahmad Hazwan Bakri dan pertahanan dari Australia, Robert Cornwaithe yang masing-masing masih dibelenggu kecederaan.

Berkongsi pandangan sama adalah kapten pasukan, Muhammad Shahrom Abdul Kalam yang mahu rakan sepasukan melupakan kekalahan mengejut kepada PDRM, Jumaat lepas dan fokus berdepan wakil Singapura itu.

Beliau turut yakin ketiadaan Cornthwaite di bahagian pertahanan mampu digalas beberapa pemain berpengalaman seperti Mohd Razman Roslan dan Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid.

"Kami akan cuba perbaiki segala kelemahan yang ada dalam pasukan dan cuba dapatkan tiga mata di laman sendiri dan bagi saya ketiadaan Cornthwaite tidak mendatangkan masalah kerana kita masih ada beberapa pemain lain yang boleh membantu pasukan mencapai kemenangan," katanya.

Sementara itu, Sundramoorthy mahu mencuri sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan pada Selasa, dan tidak menolak kemungkinan bekas pemain Liverpool, Jermaine Pennant akan diturunkan walaupun cedera ketika pasukan itu seri 1-1 dengan Home United dalam perlawanan Liga S, Khamis lepas.

"Melihat barisan pemain Selangor ketika ini, ia pasti bukan satu perlawaan mudah dan kami akan cuba dapatkan satu mata," kata bekas pemain Singapura itu.

Ketua pasukan Tampines Rovers, Mustafic Fahrudin berharap pasukannya akan menampilkan aksi cemerlang menentang Selangor yang pastinya mengharapkan sokongan penyokong tempatan bagi membantu mencatat kemenangan.

"Ia pasti satu perlawanan yang sukar tapi kami harapkan keputusan yang baik selepas menang 4-0 ke atas kelab Bangladesh bulan lalu," kata Mustafic yang mewakili pasukan kebangsaan Singapura antara 2007 dan 2012.

Tampines Rovers kini menduduki tangga teratas Kumpulan E manakala Selangor di tempat ketiga. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain