KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal negara, Mohd Azizulhasni Awang mengakui perlu menempuh perlumbaan penuh dramatik sebelum dapat meraih pingat gangsa acara keirin di Kejohanan Trek Dunia UCI pada Ahad. Menceritakan detik kejayaannya di Lee Valley Velopark, Stratford, London itu, Azizuhasni berkata beliau hampir mengalami kemalangan pada pusingan pertama kerana dihimpit pelumba Poland dan tuan rumah yang menyebabkan beliau terpaksa berlumba di pusingan 'repecharge' untuk melayakkan diri ke separuh akhir. "Alhamdullilah, walaupun begitu sengit saya berjaya memenangi pusingan repecharge dan mara ke pusingan seterusnya. "Tapi saya pelik, kedua-dua pelumba yang menghimpit saya itu tidak dibatalkan walaupun himpitan itu berlaku secara terang-terangan dan ada pelumba yang kemalangan. "Jika saya berada di tempat mereka, saya percaya sudah tentu saya akan di keluarkan daripada perlumbaan. "Saya dan jurulatih tenang dengan situasi itu dan terus fokus untuk memenangi pusingan repecharge untuk melayakkan diri ke separuh akhir," kata Azizulhasni, 28, menerusi status Facebook miliknya 'Jojo Knoxville', Isnin. Pemenang pingat perak, Edward Dawkins dari New Zealand (kiri), diikuti juara dari Jerman, Joachim Eilers dan Azizulhasni. Di separuh akhir, Azizulhasni berjaya meraih tempat kedua dan pada perlumbaan penentuan, beliau turut menghadapi saingan penuh dramatik pada perlumbaan apabila bersaing dengan pelumba handalan dunia. Saiz badan yang lebih kecil berbanding pelumba lain tidak menghalang Azizulhasni menamatkan perlumbaan di tempat ketiga bagi acara itu. Pingat emas acara itu dimenangi pelumba Jerman, Joachim Eiler dan pingat perak milik pelumba dari New Zealand, Eddie Dawkins. "Dari segi fizikal, saya adalah yang tercilik jika dibandingkan dengan pelumba lain. Saiz fizikal yang jauh lebih besar memberi kelebihan kepada pesaing saya dalam penggunaan gear tinggi bagi mendapatkan kelajuan," katanya yang meraih tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro Brazil pada Ogos ini. Azizulhasni pernah beraksi di Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, dengan masing-masing di kedudukan ke-10 dan enam bagi acara keirin manakala dalam acara pecut, beliau menduduki tangga kelapan bagi kedua-dua temasya itu.-- Bernama