suria

Fatehah Lebih Bersemangat Kejar Kejayaan Di Rio

Fatehah bersama jurulatih John Beasley dan Azizulhasni pada sidang media majlis pengumuman rasmi layak ke Sukan Olimpik 2016 oleh penaja kedua-dua atlet itu, Yayasan Sime Darby. - foto ROHAIZAT MD DARUS/STAR.

SEPANG: Kegagalan meraih pingat pada Kejohanan Trek Dunia UCI di London baru-baru ini, tidak mematahkan semangat pelumba trek wanita elit negara, Fatehah Mustapa untuk mengejar kejayaan pada Sukan Olimpik Rio de Janiero, Brazil Ogos depan.

Fatehah berkata semangatnya semakin membara terutama apabila melihat kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang meraih pingat gangsa pada kejohanan dunia itu.

"Melihat Azizulhasni menang pingat di London membuatkan saya semakin bersemangat untuk mencatat kejayaan. Saya percaya sebelum bermula Sukan Olimpik, segala kecederaan yang dialami akan sembuh.

"Dalam masa kira-kira 20 minggu ini, saya perlu memastikan saya mengikuti setiap sesi fisioterapi bagi memastikan kecederaan tulang belakang kembali pulih sepenuhnya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pengumuman rasmi layak ke Sukan Olimpik 2016 oleh penajanya, Yayasan Sime Darby.

Fatehah berkata kecederaan pada tulang belakang menyebabkan prestasinya hambar pada kejohanan itu, di samping emosinya terganggu berikutan bapanya Mustapa Kasim, 59, kini mengalami masalah kesihatan.

Menurut Fatehah, ekoran masalah itu, beliau banyak ketinggalan dalam sesi latihan sehingga mengganggu prestasinya di London.

Namun, beliau berkata kedua-dua masalah itu bukan penghalang baginya meraih kejayaan di Rio.

"Sebelum ini banyak berehat, jadi persiapan tidak berapa mantap. Saya berharap dalam tempoh 20 minggu ini, saya dapat memperbaiki kelemahan dari segi kelajuan dan kekuatan.

"Saya juga berharap prestasi saya di Rio lebih baik daripada prestasi di Sukan Asia 2014, di mana saya menang pingat perak," katanya.

Fatehah mengesahkan tiket ke Rio dalam acara pecut selepas berakhir pusingan kelayakan di London, apabila muncul pelumba kedua terbaik dari Asia. - BERNAMA

Artikel Lain