suria

Penampilan Mengecewakan Penembak Negara Di Piala Dunia

Mohd Hadafi Jaafar.

KUALA LUMPUR: Skuad negara tampil mengecewakan di Piala Dunia Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) di Bangkok apabila tiada seorangpun yang layak ke pusingan akhir sepanjang kejohanan ini.

Dalam acara 50 meter raifal lelaki tiga posisi pada Selasa, Mohd Hadafi Jaafar muncul penembak terbaik negara selepas mencatat 1,136 mata untuk menduduki tempat ke-33 daripada 41 peserta di pusingan kelayakan kejohanan yang menjadi pentas terakhir melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro.

Dua lagi penembak negara, Mohamad Lutfi Othman dan Mohammad Zubair Muhammad, masing-masing berada di tempat ke-37 dan 39 dengan catatan 1,131 dan 1,121 mata.

Hanya lapan penembak terbaik pusingan kelayakan itu mara ke peringkat akhir.

Wakil Amerika Syarikat, Matthew Emmons muncul juara selepas mencatat 458.6 mata diikuti Serhiy Kulish dari Ukraine yang mendapat perak (456.8) manakala peserta China, Cao Yifei meraih gangsa (445.6).

Keputusan di Piala Dunia ini menyaksikan hanya Jonathan Wong menjadi penembak tunggal negara layak ke Sukan Olimpik 2016 selepas memungut pingat emas acara 10 meter individu air pistol di Kejohanan Kelayakan Olimpik Asia di India bulan lepas.

Seramai 333 penembak dari 49 negara dari lima benua menyertai kejohanan lapan hari yang bermula sejak 1 Mac lepas. - BERNAMA

sukan menembak, ISSF

Artikel Sebelum

Artikel Lain