REAL Madrid mengesahkan tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara selepas menundukkan Roma 2-0 pada saingan kedua pusingan 16 pasukan di Barnabeu awal pagi Rabu. Dengan keputusan agregat 4-0, Real Madrid melengkapkan rekod kali keenam berturut-turut mara ke suku akhir. Selepas terikat seri tanpa jaringan pada babak pertama, Cristiano Ronaldo berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-64 sekaligus menyaksikan bintang Portugal itu merakamkan gol ke-40 dalam semua aksi perlawanan musim ini. Manakala ia merupakan jaringan ke-13 dalam saingan Liga Juara-Juara musim ini dan gol ke-90 keseluruhan aksi kejuaraan ini. “Dia bermain di bahagian tengah kali ini dan juga turut bertukar-tukar posisi dengan Bale dan Rodriquez,” jelas pengurus pasukan Real Madrid, Zinedine Zidane. Sementara itu, James Rodriguez mengukuhkan kedudukan Real dengan meledak jaringan kedua pada minit ke-68.