KUALA LUMPUR: Beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara ke separuh akhir kejohanan Seluruh England selepas menundukkan gandingan senior Koo Kien Keat-Tan Boon Heong di suku akhir lewat Jumaat malam waktu tempatan (awal pagi ini waktu Malaysia). V Shem-Wee Kiong yang kini menduduki ranking ke-16 dunia mengambil masa 49 minit untuk menundukkan Kien Keat-Boon Heong 21-19, 22-20 di Barclaycard Arena, Birmingham. Menanti mereka di separuh akhir kira-kira pukul 1 tengah hari ini waktu tempatan (9 malam ini waktu Malaysia) adalah pilihan keenam, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun yang menyingkirkan pilihan ketiga Fu Haifeng-Zhang Nan dari China 21-19, 21-12. Satu lagi perlawanan separuh akhir beregu lelaki adalah antara pilihan utama, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan dan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov. Ini juga kemenangan pertama V Shem-Wee Kiong ke atas bekas juara Seluruh England 2007 itu dalam pertemuan sulung mereka setakat ini. Ia juga menjadikan mereka sebagai wakil tunggal negara yang masih beraksi di kejohanan Siri Super Premier itu yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah US$550,000 (RM2.263 juta). Kejayaan mara ke separuh akhir pertama mereka di kejohanan ini juga adalah kemenangan moral buat V Shem-Wee Kiong yang bersaing hebat dengan Kien Keat-Boon Heong yang merupakan pasangan nombor 17 dunia, untuk merebut tiket ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro. Ini berikutan Malaysia sekadar mampu mengharapkan satu tiket dalam acara ini selepas kedua-dua pasangan itu masih berada di luar kelompok lapan beregu terbaik dunia. Mengikut sistem kelayakan Olimpik, sesebuah negara hanya boleh menghantar maksimum dua wakil dalam acara beregu jika mereka berada dalam kelompok lapan terbaik sehingga tarikh tutup kelayakan. Tarikh akhir kelayakan Sukan Olimpik adalah pada 5 Mei ini.