suria

Kim Hock Dilantik Jurulatih Kelab Badminton Petaling

Yap Kim Hock

PETALING JAYA: Usaha pembangunan sukan badminton Malaysia tidak pernah berhenti di semua peringkat, termasuk kelab bagi memastikan bakat-bakat muda terus digilap agar skuad kebangsaan tidak ketandusan pemain.

Dengan semangat serta minat terhadap sukan badminton ini yang tidak pernah padam, bekas pemenang pingat perak Sukan Olimpik 1996 dalam acara beregu, Yap Kim Hock menyahut cabaran untuk melahirkan pemain-pemain beregu remaja bersama Kelab Badminton Petaling (PBC).

Rekod Kim Hock sebagai jurulatih beregu sebelum ini tidak perlu dipertikaikan apabila pemain-pemain remaja dibawah bimbingannya sebelum ini berjaya melakar juara pada Kejohanan Remaja Dunia sebanyak tiga kali.

Dan sentuhannya di PBC ini diharap dapat melebarkan rekodnya mencatat kejuaraan dunia remaja buat kali keempat.

"Saya berbesar hati menerima tugas di PBC dan sudah tentu akan menggunakan peluang ini sebaik-baiknya. 

"Pengalaman 20 tahun dalam dunia badminton ini akan digunakan untuk membantu merealisasikan impian kelab agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

"Tugas utama adalah kejuaraan remaja dunia dan pada masa sama mahu membantu naikkan standard pemain-pemain senior di peringkat dunia," jelas Kim Hock selepas majlis pengumumannya sebagai jurulatih di PBC pada Selasa.

Kim Hock,45, yang pernah menjadi ketua jurulatih negara pada tahun 2004-2008 bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui sangat optimis dengan PBC.

"Dengan kemudahan serta pengurusan yang sistematik, saya sangat yakin pemain-pemain mampu beraksi ke Kejohanan Dunia tahun ini di Sepanyol dan seterusnya," ujar Kim Hock.

Sementara itu Petaling BC adalah sebuah akademi badminton yang ditubuhkan sejak 2006 oleh Wong Wei Choy dan Datuk Jack Koh.

Sebelum ini PBC dikenali sebagai Akademi Badminton Looi menjadi pusat latihan bukan sahaja untuk pemain-pemain tempatan malah menjadi tumpuan dari negara Asia, Eropah, Oceania dan Amerika Utara.

Objektif utama penubuhan kelab ini bukan sahaja untuk melihat ramai bintang badminton tempatan dilahirkan, tetapi turut memberi fokus kepada program jangka masa panjang sekaligus membantu BAM mengenalpasti bakat baharu untuk diselitkan ke dalam program Malaysian Next Badminton Superstar (MNBS).

Antara rekod pencapaian Kim Hock sebagai jurulatih: 


1. Remaja Asia 2002 - Juara, Koo Kein Kiat/ Ong Soon Hock

2.Kejohanan Remaja Dunia 2002 - Naib juara, Jack Koh/Tan Bin Shen

3.Kejohanan Remaja Dunia 2009  - Juara, Ow Yao han/ Chooi Kah Ming

4.Kejohanan Remaja Dunia 2010 - Juara, Ow Yao Han/Yew Hong Kheng

5.Kejohanan Remaja Dunia 2011 - Juara, Teo Ee Yi/Nelson Heg Wei Keat

Yap Kim Hock, Petaling BC

Artikel Sebelum

Artikel Lain