JUARA dunia 2015, Jorge Lorenzo mempamerkan aksi mantap dengan menguasai perlumbaan pembukaan MotoGP musim ini di Qatar awal pagi Isnin.
Pelumba Yamaha itu meninggalkan Andrea Dovizioso 2.019 saat dari pasukan Ducati, manakala bekas juara berganda Honda, Marc Marquez menduduki tempat ketiga.
Sebaik sahaja menamatkan perlumbaan itu, Lorenzo dilihat mencium tayar belakang jenteranya.
"Pemilihan tayar belakang amat penting. Saya telah cuba menggunakan tayar keras ketika sesi latihan, tetapi tidak mendapat kepuasan.
"Dan saya mengambil risiko untuk menukar tayar lembut kerana pesaingan utama kami, Marquez dan Rossi memilih tayar keras.
"Akhirnya saya menemui kepuasan, lebih-lebih lagi boleh memecut lebih pantas ketika di selekoh.
"Saya amat gembira dengan kejayaan pertama musim ini," jelas Lorenzo.
Pusingan kedua MotoGP bakal berlangsung di Argentina pada 3 April ini.