SINTOK: Skuad bola sepak wanita negara yang menyasarkan slot ke pusingan akhir kejohanan Piala AFC 2022, mahu menggunakan aksi Piala Tun Sharifah Rodziah sebagai medan pencarian bakat bagi memenuhi impian itu. Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),Brig Jen Datuk Norhuda Ahmad berkata selaras dengan sasaran itu, pihaknya meletakkan syarat baharu kejohanan mulai tahun ini iaitu setiap pasukan hanya boleh mendaftarkan lima pemain berusia 25 tahun ke atas. "Baki pemain harus berada dalam lingkungan usia antara 16 dan 24 tahun. Oleh kerana sasaran kita adalah AFC 2022, tempoh enam tahun yang ada adalah untuk melatih pemain muda ini agar kita mempunyai skuad kebangsaan yang mantap. "Jika kita tidak letak syarat ini, kebanyakan pemain lama akan selesa tetapi kita pula tidak mempunyai barisan pelapis pertama dan kedua," katanya pada sidang media sempena perasmian logo dan undian Piala Tun Sharifah Rodziah pada Rabu. Menurut Norhuda, Piala Tun Sharifah Rodziah juga akan menjadi platform utama bagi pemilihan pemain kebangsaan untuk Piala AFF 2016 yang diadakan di Mandalay,Myanmar, Julai ini. Beliau yakin skuad wanita negara dapat menggunakan Piala AFF untuk memperbaiki ranking dunia yang kini pada kedudukan ke-86. Sementara itu, penolong jurulatih pasukan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) Zulfa Arnis Marah Sutan berkata status sebagai juara bertahan Piala Tun Sharifah Rodziah, bukan jaminan yang memastikan kejayaan, sebaliknya percaya saingan tahun ini akan lebih sengit. MISC muncul juara tahun lalu selepas menundukkan pemenang 11 kali, Sabah 3-2 menerusi penentuan penalti. Zulfa berkata 90 peratus pemainnya kali ini terdiri daripada pemain lama justeru mereka tidak bimbang walaupun hanya berlatih dalam tempoh singkat. Bagi penolong jurulatih Sabah, Petronella Douny pula, pasukannya mahu merampas kembali trofi itu selepas kecewa pada halangan terakhir tahun lalu. Sebanyak 12 pasukan bersaing di kejohanan yang bermula Khamis sehingga 16 April ini. Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, naib juara RM10,000 dan tempat ketiga RM5,000. Pasukan Sabah, Negeri Sembilan, Sarawak, Angkatan Tentera Malaysia, Perlis dan Selangor diundi dalam Kumpulan A, manakala MISC, Perak, Pulau Pinang,Pahang, Kuala Lumpur dan Kedah dalam Kumpulan B. -Bernama