suria

T-Team Mahu Jaring Lebih Banyak Gol - Rachmat

Pemain Kelantan Dramane Traore (kanan) berjaya merembat bola meskipun dihalang pemain T-Team Mohamad Hasbullah pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Selasa malam. Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU: T-Team atau Terengganu FC II mengidam lebih banyak gol setelah meraih kemenangan sulung mengalahkan Kelantan 4-2 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dalam saingan Liga Super Selasa malam.

Pengendalinya Rachmat Darmawan berkata bagi merealisasikan hasrat itu beliau akan terus memperbaiki rentak dan corak permainan pemainnya.

"Dalam perlawanan sebelum ini, kita banyak mempunyai peluang namun gagal untuk menghasilkan gol. Tapi malam ini kita memperoleh empat gol dan sekali gus memecah kebuntuan kita selama ini untuk menghasilkan gol.

"Ini adalah kemenangan sulung pasukan dan saya berpuas hati dengan komitmen serta corak persembahan yang ditunjukan pemain dengan  menamatkan kemarau kemenangan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Gol skuad The Titans dijaringan oleh Dilshod Sharofetdinov pada minit ke-19 dan ke-71, Patrick Dos Santos Cruz (minit ke-38) serta Konate Makan (minitke-47).

Selepas enam perlawanan, T-Team meraih hanya meraih satu kemenangan, tiga seri dan dua kalah. -Bernama

T-Team, Liga super

Artikel Lain