SKUAD Helang Merah terpaksa melupakan khidmat Syazwan Zainon yang perlu direhatkan selama empat hingga enam minggu akibat kecederaan yang dialami. Syazwan dikeluarkan pada babak pertama selepas menjaringkan gol pembukaan Kedah ketika menentang Selangor di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Selasa lalu. Dalam aksi Liga Super itu, permainan berakhir dengan keputusan seri 2-2. Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, Syazwan adalah pemain ketiga yang dimasukkan dalam senarai kecederaan selepas Baddrol Bakhtiar dan Arif Farhan. "Inilah nasib kita, Syazwan terpaksa dikeluarkan setelah menjaringkan gol pertama Kedah kerana kekejangan di pangkal paha kirinya dan kini dia terpaksa di rehatkan selama empat ataupun enam minggu akan datang. "Bang Seung Hwan yang menerima jahitan di bibirnya kemungkinan besar mampu beraksi semula ketika kita berdepan Pulau Pinang di Stadium Darul Aman pada Sabtu ini, tetapi Baddrol dan Arif saya terpaksa tunggu sehingga hari perlawanan seterusnya bagi mengetahui sama ada mereka telah pulih atau tidak," katanya kepada mStar Online. Cheng Hoe memberitahu, pasukan Kedah akan meneruskan latihan seperti biasa bagi membaiki kelemahan yang berlaku ketika menentang Selangor. "Kami perlu fokus untuk melakukan persediaan dalam tempoh yang ada sebelum menentang Pulau Pinang pada Sabtu ini. "Pada masa sama, kita akan berusaha memperbaiki kelemahan dan memantapkan skuad ini yang akan dibarisi pemain simpanan selepas kehilangan tiga pemain. "Saya yakin dengan kemampuan barisan pemain simpanan kerana mereka sentiasa memberikan aksi terbaik ketika diturunkan sebelum ini. "Saya juga terpaksa tunggu sehingga Sabtu ini bagi mengetahui siapakah yang bakal berada dalam kesebelasan utama dan mampukah Baddrol dan Arif kembali beraksi semula," ujarnya.