suria

Badrul Hisyam Raih Emas 100m Pada Terbuka Filipina

Badrul Hisyam Abdul Manap
KUALA LUMPUR: Pelari pecut muda negara, Badrul Hisyam Abdul Manap terus mempamerkan aksi cemerlang di pentas antarabangsa apabila meraih emas acara 100 meter pada Kejohanan Olahraga Jemputan Terbuka Filipina Jumaat.

Pada kejohanan yang berlangsung di Padang dan Trek Philsports di Pasig City, Filipina, atlet kelahiran Melaka itu mencatat 10.39 saat, demikian menurut laman sesawang Persatuan Olahraga Filipina (Association;www.philathletics.org).

Catatan masa berkenaan masih jauh daripada catatan peribadi terbaik dilakar pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) ini iaitu 10.29 saat pada Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Asean, tahun lepas di Brunei.

Pingat perak dimenangi seorang lagi atlet negara, Khairul Hafiz Jantan menerusi catatan 10.41 saat manakala pingat gangsa diraih atlet tuan rumah, Brandon Thomas dengan catatan masa 10.60 saat.

Badrul Hisyam dijadualkan bersaing dalam acara 200 meter bersama Khairul Hafiz, esok.

Dalam pada itu, kontinjen negara menambah satu lagi pingat perak menerusi  Muhammad Azam Masri dalam acara 400 meter lelaki menerusi catatan masa 46.90 saat.

Dua pelari tuan rumah iaitu Edgardo Alejan yang mewakili Airforce L Time Studio dan Joan Caido yang mewakili University of Baguio, masing-masing memenangi pingat emas dan gangsa dengan catatan 46.89 saat dan 47.93 saat.

Terdahulu dua atlet lompat jauh wanita negara, Shahidatun Nadia Mohd Zuki dan R. Kirthana menyumbang pingat perak dan gangsa setelah masing-masing mencatat lompatan sejauh 6.24 meter dan 5.80 meter, semalam.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain