DUA pemain utama Kedah iaitu Baddrol Bakhtiar dan Arif Farhan dijangka kembali membantu skuad Helang Merah dalam perlawanan menentang Pulau Pinang pada Sabtu. Ini kerana, kedua-dua pemain yang mengalami kecederaan itu telah kembali menyertai latihan menjelang saingan Liga Super di Stadium Darul Aman. Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan untuk menurunkan Baddrol dan Ariff akan hanya ditentukan pada petang Sabtu, selepas meneliti tahap kecergasan kedua-dua pemain tersebut. "Saya lega kerana Baddrol dan Arif sudah menjalani latihan dan saya yakin mereka sudah bertambah pulih. Sama ada dua pemain ini mampu beraksi sepenuh masa atau tidak, itu belum diketahui. "Jika mereka tidak boleh diturunkan, pemain yang menggantikan Baddrol dan Arif sebelum ini akan meneruskan tugas mereka. "Kemungkinan besar juga Baddrol dan Arif hanya berada di bangku simpanan dan kalau perlu barulah saya akan menggunakan khidmat mereka. Apa yang penting kesebelasan utama nanti terdiri daripada pemain yang cergas sepenuhnya," katanya kepada mStar Online. Cheng Hoe menambah, pertahanan Kedah, Bang Seung Hwan yang menerima jahitan di bibirnya tidak bermasalah untuk beraksi semula. "Setakat ini hanya Syazwan Zainon sahaja yang akan dikeluarkan daripada senarai 18 pemain selepas dia mengalami kecederaan. "Saya harap pemain akan beraksi dengan konsisten dan terus memburu gol. Daripada siapa gol dihasilkan itu tidak penting kerana yang penting kita mendapat jaringan dan tiga mata. "Pemain perlu memberi perhatian sepanjang permainan dan tidak alpa ataupun hilang tumpuan kerana ini hanya akan mengundang padah," tegasnya.