SHAH ALAM: Pemain Taiwan, Tai Tzu Ying mencipta kejutan apabila menyingkirkan pemain nombor dua dunia, Li Xuerui dari China pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2016 di Stadium Malawati, di sini Khamis. Pemain bukan pilihan itu, yang kini berada di ranking kesembilan dunia, menampilkan prestasi membanggakan sebelum mencatat kemenangan 14-21, 21-18 dan 21-16 dalam perlawanan yang berlangsung selama 50 minit. Pemain Taiwan berusia 21 tahun itu, yang memenangi gelaran antarabangsa pertama pada Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka Amerika Syarikat 2011, akan berdepan seorang lagi pemain China, Wang Shixian yang juga pilihan kelima, di suku akhir pada Jumaat. Tai berkata lawannya itu yang dilihat agak gementar dan melakukan banyak kesilapan, memberi keyakinan kepadanya untuk mengawal permainan pada pertemuan tersebut. "Keadaan gelanggang turut menjejaskan prestasi saya, tetapi saya melihat Xuerui sedikit gementar dan mahu menamatkan perlawanan dengan lebih cepat. Keadaan itu memberi peluang kepada saya untuk mengawal permainan," katanya. Pemain perseorangan wanita India, Pusarla V.Sindhu turut menampilkan prestasi terpuji untuk mara ke suku akhir apabila mengetepikan pemain nombor lapan dunia, Sung Ji Hyun dari Korea Selatan dengan kemenangan 22-20 dan 21-17. Juara Grand Prix Masters Malaysia 2016 itu akan berdepan juara dunia 2013, Ratchanok Intanon dari Thailand, yang mara ke suku akhir setelah menewaskan Hsu Ya Ching dari Taiwan 21-15, 21-12. Penguasaan pemain China pada kejohanan itu semakin berkurangan apabila beregu campuran mereka yang juga pilihan ketiga, Liu Cheng-Bao Yixin ditunjuk jalan keluar oleh beregu Thailand, Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai. Pasangan beregu Thailand itu mengambil masa hampir satu jam sebelum mencatat kemenangan 22-20, 18-21 dan 21-17 ke atas beregu campuran nombor dua dunia itu. Beregu Thailand itu akan berdepan pasangan Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying di suku akhir. Prestasi cemerlang juga ditampilkan pemain Indonesia, Jonatan Christie dalam acara perseorangan lelaki selepas berjaya layak ke undian utama setelah mencatat dua kemenangan dalam pusingan kelayakan, sebelum ini. Pemain berusia 18 tahun itu meneruskan aksi terbaiknya untuk mara ke suku akhir selepas menumpaskan pilihan ketujuh, Chou Tien Chen dari Taiwan 21-13, 12-21 dan 21-8 di pusingan pertama, sebelum mengalahkan Hu Yun dari Hong Kong 21-13 dan 21-11. Menanti Jonatan di suku akhir adalah pemain England, Rajiv Ouseph yang mendapat kemenangan percuma selepas pilihan ketiga, Kento Momota dari Jepun menarik diri daripada kejohanan berkenaan kerana masalah peribadi. - BERNAMA