SHAH ALAM: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak mahu pemain negara yang akan ke Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos ini, sekadar menjadi 'pelancong'. Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid berkata walaupun badan induk badminton negara itu masih belum menetapkan sebarang sasaran buat masa ini, beliau yakin pemain mampu menjadi pesaing pingat pada temasya empat tahun sekali itu. "Buat masa ini kita tidak ada sasaran kerana fokus kepada kelayakan dahulu. Tidak perlu terlalu cepat untuk tentukan sasaran...kami tidak mahu meletak sasaran, sekadar untuk membuat sasaran sahaja. "BAM akan menetapkan sasaran selepas mengetahui senarai pemain yang layak. Lepas ada pemain yang berjaya (layak), baru kita letakkan sasaran pingat mengikut kedudukan dan keupayaan serta kelayakan yang dicapai pemain itu," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Exco BAM, di sini, Sabtu. Beliau berkata BAM memandang serius semua kejohanan yang disertai pemain negara termasuk Sukan Olimpik, dan pemain perlu menunjukkan prestasi dan semangat juang yang terbaik. Mohamed Al-Amin turut berkata skuad negara bercadang berlepas ke Rio lebih awal supaya pemain dapat membiasakan diri dengan keadaan sekeliling dan juga perbezaan waktu, kerana waktu tempatan di Malaysia adalah 11 jam lebih awal berbanding Rio. Sementara itu, beliau berkata skuad negara ke Piala Thomas yang akan berlangsung di Kunshan, China pada 15 hingga 22 Mei akan diumumkan akhir bulan ini. "Kami akan buat keputusan tidak lama lagi kerana pendaftaran pemain adalah pada awal Mei, tapi secara dasarnya kita akan letak pemain yang kita jangka terbaik. Tiada sasaran tinggi...mereka perlu menampilkan aksi terbaik kerana ia adalah sebahagian daripada persiapan ke Rio," katanya. Di Kunshan, juara lima kali Malaysia, diundi dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman. Sebagai rekod, Malaysia menjuarai kejohanan berpasukan lelaki paling berprestij itu pada 1949, 1952, 1955, 1967 dan 1992, manakala pada edisi lalu di New Delhi, India, skuad kebangsaan tewas di perlawanan akhir kepada Jepun. - BERNAMA