SERDANG: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bercadang menyediakan kemudahan sewa basikal pada Siri Kejohanan Kriterium Berbasikal Remaja Malaysia (JCM) yang berbaki 13 pusingan lagi. Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata beliau tidak mahu soal pemilikan basikal menjadi masalah bagi bakat muda yang berminat dengan sukan itu, untuk turut serta menyertai JCM. "Kita akan lihat sama ada sempat ataupun tidak untuk sediakan khidmat sewa basikal pada siri kedua dan ketiga di Perak dan Kelantan, masing-masing pada 22 dan 28 Mei ini. "Kalau sempat kita akan teruskan, kalau tidak kita akan sediakan khidmat itu bermula pada siri keempat di Pulau Pinang," katanya kepada pemberita pada perlumbaan siri pertama JCM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Sabtu. Khairy berkata dengan usaha itu, semangat bersukan terutamanya dalam perlumbaan basikal dapat dipupuk kepada mereka yang berminat walaupun tidak mempunyai kelengkapan seperti basikal. Siri pertama JCM yang bermula pada Sabtu menyaksikan lebih 700 penyertaan daripada peserta berumur lima hingga 19 tahun membabitkan kategori basikal lebuh raya, BMX, Fixie, basikal lipat dan basikal tolak (push bike). Khairy berkata pada siri pertama itu, kebanyakan penyertaan adalah daripada kelab berbasikal dan Majlis Sukan Negeri, namun penyertaan peserta umur bawah 11 tahun masih tidak ramai. "Kita mahu melihat penyertaan bawah 11 tahun sebab kita mahu cari lebih ramai pelumba pelapis. Bagi mereka yang sudah biasa menyertai kejohanan seperti ini, JCM digunakan untuk menjadi penanda aras prestasi mereka," katanya yang mengalukan penyertaan pelumba buat pertama kali pada siri seterusnya. Mengulas lanjut mengenai JCM, Khairy berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk menggalakkan lebih ramai pelajar sekolah menyertainya. Siri itu bertujuan melahirkan lebih ramai atlet berbasikal negara berdasarkan pelan pembangunan sukan yang telah dilancarkan tahun lepas. Pelaksanaan Program Pembangunan Remaja Sukan Berbasikal itu akan menggunapakai konsep Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP). "Melalui program ini kita harap dapat lahirkan lebih ramai pelumba basikal yang boleh diserapkan di bawah program pembangunan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya. Program kriterium JCM seterusnya akan bersambung ke Perak pada 22 Mei, Kelantan (28 Mei), Pulau Pinang (17 Julai), Negeri Sembilan (14 Ogos), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (10 September), Perlis dan Kedah (8-9 Oktober). Ini diikuti di Pahang (23 Oktober), Terengganu (5 November), Melaka (13 November), Sarawak (20 November), Johor (10 Disember) dan berakhir di Sabah pada 18 Disember. - BERNAMA