KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin berjanji untuk menampilkan aksi terbaik pada Red Bull Grand Prix of the Americas kerana Circuit of the Americas (COTA) ialah antara litar yang menjadi kegemarannya. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Petronas Raceline Malaysia, Hafizh bakal memulakan perlumbaan malam ini (awal Isnin waktu Malaysia) dari petak keenam selepas giat mengharungi aksi kelayakan Moto2 pada Sabtu (perbezaan waktu - Malaysia 13 jam lebih awal). "Jentera berada dalam keadaan baik tetapi masih ada ruang untuk memperbaiki. Saya boleh melakukan yang lebih baik jika tidak kerana trafik pada sesi. Jarak dari kebanyakan pelumba tidak terlalu jauh. Saya akan mempamerkan aksi terbaik," katanya. Pelumba Program Pembangunan Bakat Petronas itu mencatatkan pusingan terpantas dalam 2 minit 10.292 saat untuk melayakkan diri di kelompok 17 daripada 29 pelumba. Beliau ketinggalan 1.442 saat di belakang Alex Rins mewakili Paginas Amarillas yang menyambar kedudukan podium dengan rekod baru litar 2'08.850s sementara juara dunia bertahan, Johann Zarco dari Ajo Motorsport (2'09.066s) dan Sam Lowes dari Federal Oil Gresini Moto2 mencatatkan 2'09.100s. Hafizh akan bermula pada perlumbaan 19 pusingan itu di sebelah Danny Kent dari Leopard Racing dan Xavier Simeon yang mewakili QMMF Racing Team.