PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berjanji insiden kekecohan yang dicetuskan penyokong Helang Merah itu tidak akan berulang terhadap mana-mana pasukan yang bertandang ke Stadium Darul Aman pada masa hadapan. Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata, pihaknya akan menambah jumlah anggota polis pengiring bagi mengelakkan insiden membaling batu terhadap bas pasukan Pulau Pinang pada Sabtu malam berulang. Kecewa dengan insiden itu, Aminuddin bagaimanapun menolak dakwaan kononnya kawalan keselamatan di Stadium Darul Aman longgar dan tidak memuaskan. Aminuddin Omar "Lebih daripada 700 orang (anggota polis) beruniform dan yang tidak beruniform ada di dalam stadium. Maksudnya dari segi keselamatan kita jaga keselamatan dengan cukup baik. "Mungkin untuk mengiringi bas pemain dan sebagainya... insyaAllah kita akan bermesyuarat lagi dengan pihak polis untuk mungkin menambah anggota pengiring untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada pemain-pemain," katanya. Aminuddin mengulas mengenai insiden di mana jurulatih penjaga gol Pulau Pinang, Maquinshop Domingues Prep cedera selepas bas yang membawa skuad negeri itu dibaling batu tidak lama selepas meninggalkan Stadium Darul Aman. Perlawanan aksi Liga Super antara Kedah menentang Pulau Pinang berkesudahan seri 2-2. Selain itu Aminuddin turut melahirkan kebimbangan kemungkinan KFA bakal berhadapan hukuman berat akibat insiden berkenaan. "Saya selalu sebut kepada peminat, contohnya perlawanan yang lepas pun ada yang bakar suar. "Sudah tentu persatuan akan dihukum pihak FAM dan begitu juga dengan kejadian pada malam semalam. Sudah tentu natijahnya akan sampai kepada pihak KFA dan ini yang membimbangkan kita. "Biasanya dendanya bukan sedikit...ia akan merugikan kantung kewangan pihak persatuan sendiri," katanya.