suria

Khairul Idham, Adam Buktikan Anak Malaysia Mampu Menyinar

KUALA LUMPUR: Nama Khairul Idham Pawi dan Adam Norrodin memang asing buat peminat motosikal dunia termasuk di Malaysia, sehinggalah masing-masing mencipta nama dengan cara tersendiri baru-baru ini.

Khairul Idham, 17, mencipta sejarah menjadi pelumba pertama negara menjuarai kategori Moto3 Kejohanan MotoGP Dunia, manakala semangat Adam yang menolak jenteranya untuk menamatkan perlumbaan sama, mencuri tumpuan dengan semangat jitunya.

Khairul Idham menawan Litar Termas de Rio Hondo selepas menamatkan perlumbaan 21 pusingan itu dalam masa 41 minit 35.452 saat, sekali gus membolehkan lagu Negaraku berkumandang buat kali pertama dalam Kejohanan MotoGP Dunia.

Ia hampir menjadi penamat 1-2 buat pelumba Malaysia, jika Adam tidak terjatuh di selekoh terakhir, namun insiden itu serta kejayaan Khairul Idham di Grand Prix Argentina pada 3 April, memberi sinar kepada sukan motosikal negara.

Khairul Idham yang mewakili Honda Team Asia, manakala Adam untuk Drive M7 SIC Racing Team, membuktikan anak Malaysia mampu menggegar sukan permotoran dunia.

Namun sejauh manakah Khairul Idham yang sebelum ini sekadar mengasah bakat di Litar Dato Sago, Kampung Gajah, Perak serta Adam, 17, yang dulu berlumba dalam kejohanan Cub Prix Malaysia, mampu mengubah landskap sukan permotoran negara.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali, pelumba muda yang berbakat dan berminat untuk menyertai Kejuaraan Dunia MotoGP harus memilih platform yang betul.

"Pelumba kena cari platform dan perjalanan yang betul. Mereka harus kaji dan selidik dengan betul apa yang ditawarkan dan rancangan perjalanan dalam penyertaan Kejuaraan Dunia MotoGP.

"Kos untuk menyertai Kejuaraan Dunia sangat tinggi...lebih kurang 1.8 juta Euro untuk satu pasukan menggunakan dua motor. Maka, bukan semua pasukan yang menjanjikan peluang ke MotoGP mampu berbuat demikian," katanya.

Bagi Razlan, apa yang penting adalah pelumba negara harus kekal fokus mencipta nama agar sebaris dengan pelumba handalan dunia, dan tidak boleh cepat puas hati atau berputus asa.

Namun apa yang lebih mengecewakan adalah sikap segelintir pelumba muda yang berbakat yang lebih cenderung ke arah faktor kewangan berbanding mengejar impian mendapatkan slot ke Kejuaraan Dunia.

Ini turut diakui Razlan yang menyifatkan ada dua kelompok pelumba berbakat negara iaitu yang benar-benar mahu mencipta nama di Kejuaraan Dunia dan satu lagi menggunakannya sebagai batu lonjatan mendapatkan lebih banyak wang sehingga sanggup kembali ke perlumbaan bertaraf lebih rendah.

"Moto3 merupakan platform pertama dalam MotoGP, maka gaji tidak berapa tinggi sehingga pelumba itu mampu memberikan prestasi yang diharapkan.

"Keadaan ini menyebabkan mereka kembali memilih pasukan yang menawarkan duit yang lumayan atau kembali ke perlumbaan Cub Prix berbanding mencari peluang ke MotoGP," katanya.

Bagi Razlan, pelumba Malaysia perlu mengubah sikap mengejar wang, sebaliknya menyertai sebanyak mana perlumbaan antarabangsa untuk menimba pengalaman serta menerap mentaliti untuk muncul juara.-- Bernama

Artikel Lain