IPOH: Harapan Malaysia untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian apabila sekadar seri 2-2 menentang Kanada pada hari kelima Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke-25, di sini malam Selasa. Pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu seolah-olah hilang rentak permainan apabila ketua pasukan Kanada, Scott Tupper menyumbat masuk gol pertama pada minit ke-21 menerusi pukulan sudut penalti. Namun, lapan minit kemudian, Malaysia berjaya menyamakan kedudukan melalui Shahril Saabah, sebelum Nabil Noor meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-31. 'The Speedy Tigers', bagaimanapun gagal memanfaatkan kelebihan tersebut. Pasukan Malaysia melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga membenarkan Kanada meraih satu mata apabila Matthew Guest menjaringkan gol penyamaan, 15 minit sebelum tamat perlawanan. Sementara itu, Van Huizen jelas kecewa dengan keputusan tersebut kerana beliau menyasarkan pasukan negara untuk berada pada kedudukan lebih baik berbanding kejohanan tahun lepas. Mengulas mengenai pertemuan berdepan Pakistan esok, Van Huizen berkata ia bukan satu tugas yang mudah kerana pasukan lawan sudah tentu mahu menebus kekecewaan selepas dibelasah 1-5 oleh India, petang Selasa. Selepas mengharungi empat perlawanan, Malaysia kini di tangga kelima dengan kutipan lima mata, sama seperti Kanada yang berada di kedudukan keempat, namun dipisahkan berdasarkan perbezaan gol. Berikut adalah jadual perlawanan pada Rabu: New Zealand mln India - 4.05 petang Australia mln Jepun - 6.05 petang Pakistan mln MALAYSIA - 8.35 malam - BERNAMA