suria

Zulfadli, Beregu Lelaki Mara Ke Undian Utama

Zulfadli Zulkiffli.

KUALA LUMPUR: Pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli mara ke undian utama kejohanan badminton Terbuka Singapura selepas menundukkan adiknya, Zulhelmi di pusingan kedua kelayakan di Stadium Tertutup Singapura, Selasa.

Zulfadli, 23, yang diheret bermain dalam rubber set pada aksi pusingan pertama sebelum menang 21-14, 16-21, 21-17 ke atas R. M. V. Gurusaidutt dari India, hanya mengambil masa 22 minit untuk menang 21-14, 21-11 ke atas adiknya.

Di pusingan pertama pada Rabu, Zulfadli akan berdepan pemain Indonesia, Jonatan Christie, yang mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia minggu lepas.

Kejayaan Zulfadli itu bagaimanapun gagal diteruskan Chong Wei Feng, Goh Soon Huat dan Soo Teck Zhi yang masing-masing terkandas di pusingan pertama kelayakan.

Soon Huat, tewas kepada pemain Jepun, Kenta Nishimoto 18-21, 21-16, 24-22 manakala Wei Feng yang menang set pertama 21-19, gagal meneruskan rentak apabila tunduk dua set berikutnya 14-21, 13-21 kepada Sukamta Evert dari Indonesia.

Teck Zhi pula tewas straight set kepada pemain tuan rumah, Derek Wong Zi Liang 14-21, 14-21.

Bagi acara beregu lelaki, hanya satu daripada empat pasangan negara yang beraksi di peringkat kelayakan, mara ke undian utama.

Tai An Khang-Hong Kheng Yew menempah tiket ke undian utama selepas menang 21-18, 21-15 ke atas pasangan Singapura, Chuang Jin Lei-Lee Jian Liang di pusingan pertama kelayakan diikuti kemenangan ke atas Carlos Antonie Cayanan-Philip Joper Escueta dari Filipina 21-15, 21-14.

Pasangan negara itu akan berdepan wakil tuan rumah, Danny Bawa Chrisnanta-Hendra Wijaya, yang turut mara dari pusingan kelayakan.

Ho Yen Mei, pemain tunggal negara yang beraksi di peringkat kelayakan perseorangan wanita, memberikan kemenangan percuma kepada Ling Fang Hu dari Taiwan. 

- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain