PETALING JAYA: Penerjun Olimpik negara, Pandelela Rinong sekali lagi dipilih sebagai Atlet Terbaik Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)–100PLUS 2015, sekaligus melengkapkan trofi ketiga miliknya pada Malam Anugerah SAM-100Plus yang berlangsung Rabu malam. Atlet kelahiran Sarawak ini menewaskan empat calon lain termasuk jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, pemain skuasy Datuk Nicol Ann David, juara dunia silat Mohd Al-Jufri Jamari dan bintang wusyu, Loh Jack Chang menerusi undian ahli-ahli SAM. Pandelela yang pernah memenangi anugerah ini pada 2010 dan 2012 kini sedang beraksi pada kejohanan terjun Siri Dunia di Windsor, Kanada. Ketika dihubungi menerusi sidang video pada majlis tersebut, atlet berusia 23 tahun itu menyifatkan kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk beliau terus menjulang nama negara di pentas antarabangsa. “Saya sangat gembira dengan kemenangan ini, dan sudah pasti ianya memberikan suntikan moral yang sangat positif untuk terus beraksi cemerlang dalam setiap kejohanan, dan sudah tentu paling utama di Sukan Olimpik Rio Ogos nanti," katanya. Dengan kemenangan ini, Pandelela menerima sebuah trofi beserta wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada wakil atlet itu. Senarai Penerima Anugerah SAM-100PLUS 2015: Atlet Terbaik – PandelelaRinong (terjun) Atlet Muda Terbaik – Goh Jin Wei (badminton) Persatuan Dinamik – Persekutuan Wushu Malaysia Anugerah Khas SAM 100PLUS – JDT FC