PEMILIK kelab FC Bari 1908 yang baharu, Datuk Dr Noordin Ahmad tertarik dengan pasukan yang beraksi dalam Serie B itu selepas yakin dengan potensi pasukan dari Itali itu. Jutawan dari Malaysia yang menjalankan perniagaan berasaskan minyak dan berlian itu berkata, beliau membuat keputusan untuk memiliki kelab tersebut kerana mahukan cabaran baharu dalam hidupnya. Malah, Dr Noordin juga berhasrat membawa pasukan miliknya itu kembali bersaing dalam liga elit negara itu iaitu Serie A. "Roma dan Lazio adalah pasukan yang beraksi dalam Serie A dan jika mereka menjadi juara liga, tiada apa yang hendak dihairankan. "Namun, jika saya membawa Bari menjuarai Serie B dan seterusnya layak beraksi di Serie A, ia adalah satu pencapaian terbesar yang boleh dibanggakan. "Dalam tempoh lima tahun lagi, Bari akan menjadi pasukan terbaik di Itali dan saya percaya dengan semangat 'Malaysia Boleh', kita mampu melakukannya kerana tiada apa yang mustahil dalam sukan ini," katanya. Dr Noordin hadir pada sidang media pertama sebagai pemilik kelab itu di Bandar Istana Metropolitan, Bari pada Khamis. Turut hadir Presiden Bari FC 1908, Gianluca Paparesta; Datuk Bandar Bari, Antonio Decaro serta peguamnya, Grazia Iannarelli. Menurut Dr Noordin, pemilikannya ke atas kelab Itali itu juga bakal menjadi platform kepada pemain muda di Malaysia untuk mendapat pendedahan di Eropah dan membentuk mereka menjadi pemain profesional yang lebih baik. "Pada pandangan saya, bola sepak di Malaysia tidak lagi mampu menarik minat anak muda kerana mereka menganggap sukan ini tiada masa depan dan tidak boleh dijadikan kerjaya. "Atas dasar ini, saya mahu Bari menjadi platform yang boleh membentuk mereka menjadi pemain yang lebih baik yang mendapat pendedahan bersama pemain terbaik dunia. "Jadi, jika ini dapat dilaksanakan, saya percaya bola sepak Malaysia bakal memiliki generasi pemain yang lebih baik pada masa akan datang sekali gus mampu memberi sinar kepada pasukan kebangsaan," katanya. Menerusi pemilikan baharu ini, Dr Noordin akan menjadi pemegang saham majoriti dengan 50 peratus, Paparesta mengekalkan 45 peratus manakala Cosmo Giancaspro kekal dengan pemilikan lima peratus.