suria

Liverpool Bangkit Benam Dortmund Di Anfield

Lovren meraikan gol kemenangan Liverpool bersama rakan pasukan.

ANAK buah pengurus Jurgen Klopp mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk menundukkan Borussia Dortmund 4-3 pada aksi suku akhir Liga Europa di Anfield, awal pagi Jumaat.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool mara ke perlawanan separuh akhir dengan agregat kemenangan 5-4.

Malah kemenangan dramatik itu dianggap antara perlawanan terhebat dalam sejarah Liverpool.

Pasukan tuan rumah ketinggalan 2-0 sejak sembilan minit pertama perlawanan.

Namun, jaringan Divock Origi pada minit ke-48 memberi suntikan semangat kepada Liverpool untuk terus merapatkan jurang gol dengan Dortmund.

Dortmund terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Henrikh Mkhitaryan pada minit kelima.

Empat minit kemudian, penyerang prolifik Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang menyumbat gol kedua untuk pasukan lawan.

Bekas pasukan kendalian Klopp itu berada dalam kedudukan selesa semula apabila Reus mmenjaringkan gol ketiga pada minit ke-57.

Namun, Philippe Cautinho kemudian merapatkan jurang Liverpool dengan meledak masuk gol kedua pada minit ke-66.

Liverpool terus mengganas apabila Sakho menanduk masuk hasil sepakan sudut pada minit ke-78 untuk meletakkan kedudukan 3-3.

Dejan Lovren muncul penyelamat Liverpool apabila melengkapkan gol kemenangan pasukan tuan rumah dengan menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-91.

Sejurus tamat perlawanan, Lovren menyatakan rasa kagum dengan kebangkitan yang dipamerkan Liverpool semasa menundukkan Dortmund.

"Ia satu perasaan yang cukup hebat. Salah satu perlawanan terbaik dalam tempoh dua atau tiga tahun ini," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain