suria

Gandingan Veteran Dinamakan Dalam Skuad Piala Thomas Negara

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

KUALA LUMPUR: Hasrat pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei yang mahukan beregu veteran, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dipanggil dalam skuad Piala Thomas negara, akhirnya menjadi kenyataan pada Selasa.

Gandingan itu adalah antara yang disenaraikan bersama muka baharu yang juga juara kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan pasangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin untuk kejohanan yang akan bermula di Kunshan, China dari 15-22 Mei ini.

Mereka adalah pemain yang dinamakan bersama Chong Wei, Chong Wei Feng, Goh Soon Huat dan pasangan Tan Wee Kiong-Goh V Shem, oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada Selasa.

Pemangku Presiden BAM Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata senarai pemain dipersetujui Exco BAM yang bermesyuarat hari ini dan pemilihan mereka adalah berdasarkan pengalaman dan konsistensi ketika beraksi di kejohanan tempatan mahupun antarabangsa.

"BAM mengambil kira semua aspek semasa menentukan pasukan...bagi kami pengalaman pemain beraksi di peringkat akhir dalam sesuatu kejohanan adalah penting.

"Selain daripada pengalaman, semangat kerjasama antara anggota pasukan juga dititikberatkan. Saya percaya mereka akan berusaha sebagai satu pasukan yang akan mengharumkan nama negara," katanya kepada pemberita di pejabat BAM, di Stadium Juara Bukit Kiara.

Kali terakhir Kien Keat berada dalam skuad Piala Thomas negara adalah pada 2012, dan skuad kali ini juga dianggap berpengalaman berbanding skuad 2014 yang muncul naib juara yang hanya mempunyai Chong Wei dan Boon Heong sahaja yang memiliki pengalaman dalam kejohanan berpasukan itu.

Sebelum ini, Chong Wei mahukan gandingan veteran itu bagi menguatkan cabaran negara, lebih-lebih lagi ini boleh dianggap Piala Thomas terakhirnya sebelum menggantung raket.

Di Kunshan, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Korea Selatan, England dan Jerman.

Mengenai ketiadaan pemain profesional negara, Zulfadli Zulkiffli serta pemilihan Wei Feng, Al-Amin berkata BAM hanya memberi peluang kepada pemain yang berpengalaman dan konsisten dalam setiap aksi mereka.

Bagi Piala Uber pula, skuad wanita negara yang akan diketuai pemain beregu campuran, Goh Liu Ying terdiri daripada Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Sonia Cheah, Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean dan Amelia Anscelly.

"Pemilihan Goh sebagai kapten Piala Uber adalah berdasarkan pengalamannya.

Dia boleh dikatakan pemain yang agak lama. Sudah tentu pemain lain akan mendapat sokongan dan dorongan daripadanya," katanya.

Malaysia yang belum pernah menjuarai Piala Uber, diundi dalam Kumpulan A bersama juara 13 kali China, Denmark dan Sepanyol.

Mesyuarat Exco juga memilih Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria sebagai pengurus pasukan Piala Thomas manakala anggota Majlis BAM, Datuk William Toh pula dilantik sebagai pengurus pasukan Piala Uber.

Norza berkata pasukan tersebut hampir menyamai skuad Piala Thomas 2014 walaupun Iskandar Zulkarnain pada ketika itu hanya sekadar rakan 'sparring'.

"Saya harap pasukan negara terutamanya skuad Piala Thomas dapat menyamai ataupun melepasi pencapaian Malaysia pada 2014 di New Delhi, India iaitu muncul sebagai naib juara," katanya.

Sementara itu, Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata latihan puasat akan bermula pada Selesa depan selama seminggu. - BERNAMA

Artikel Lain