KUALA LUMPUR: Peluang Selangor ke peringkat kalah mati Piala AFC semakin cerah walaupun terikat tanpa jaringan dengan kelab dari Filipina, Ceres La Salle FC di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam Selasa. Pada saingan Kumpulan E itu, kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila gagal memecahkan kebuntuan sehingga tamat perlawanan. Keputusan itu dibantu oleh kekalahan mengejut 2-3 wakil Singapura, Tampines Rovers kepada pasukan tercorot Kumpulan E, Lt. Sheikh Jamal Dhanmondi Club yang mencipta kemenangan pertama peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bangabandhu di Dhaka, Bangladesh. Selangor kini menghuni tempat kedua kumpulan dengan lapan mata di belakang Ceres La Salle FC, dan diekori rapat Tampines Rovers dengan tujuh mata selepas lima perlawanan. Bagaimanapun, skuad Gergasi Merah perlu sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri ke atas wakil Singapura itu pada aksi terakhir peringkat kumpulan pada 10 Mei di Stadium Nasional, Singapura. Pasukan tuan rumah hampir membuka jaringan pada minit ke-29, tetapi pemain gantian, Adam Nor Azlin gagal menanduk masuk bola hantaran silang Mauro Andres Olivi. Peluang terbaik skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu adalah pada minit ke-32 menerusi Olivi, namun tendangan perlahan pemain import dari Argentina itu mudah diselamatkan penjaga gawang Ceres La Salle, Louie Michael Casas. Bersambung babak kedua, pasukan pelawat yang menguasai perlawanan hampir menghukum kesilapan jentera pertahanan skuad Gergasi Merah yang leka menyepak keluar bola tendangan sudut, tetapi tandukkan Martinez de Murga hanya sedikit tersasar di atas palang gol. Selangor memulakan kempen kumpulan dengan seri 2-2 dengan Cerez La Salle di Filipina dan kalah tipis 0-1 ke atas Tampines Rovers di Selayang sebelum bangkit menghidupkan peluang ke peringkat seterusnya apabila menang 4-3 dan 2-1 ke atas wakil dari Bangladesh, Lt. Sheikh Jamal Dhanmondi Club pada dua aksi seterusnya. Dalam satu lagi aksi Kumpulan E, Cerez La Salle akan menerima kunjungan Lt. Sheikh Jamal Dhanmondi Club, juga pada 10 Mei ini. - BERNAMA