PETALING JAYA: Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengucap tahniah kepada Khairy Jamaluddin di atas usaha dan kerja keras untuk sukan dan belia di negara ini. Pemangku Raja Johor itu berkata, pertemuan dengan Khairy ini bagi mendapat gambaran yang lebih jelas berkenaan sukan bola sepak terutamanya projek Johor Darul Ta'zim (JDT) serta program-program belia di negeri Johor. "Perjumpaan ini amat positif di mana kami dapat duduk semeja, membincangkan hala tuju, berkongsi pendapat dan mendapat jalan penyelesaian untuk memperbaiki bola sepak tanahair dan juga program yang melibatkan belia," jelas Tunku Ismail di laman Facebook rasmi Johor Southern Tigers pada Rabu. Selain berbincang mengenai perkara-perkara berkaitan pembangunan bola sepak tanahair, Khairy turut dibawa melihat fasiliti dan kemudahan yang dimiliki oleh kelab JDT seperti pusat latihan, gimnasium serta padang tertutup di Padang Seri Gelam. Sementara itu, Khairy, Menteri Belia dan Sukan turut memberitahu di laman twitter miliknya bahawa pertemuan positif bersama Tunku Ismail untuk kerjasama demi masa depan bola sepak Malaysia.