KUALA LUMPUR: Juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas menang 2-1 ke atas juara Liga Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Pusat Latihan Belia, Yangon pada Rabu. Jaringan Safee Sali pada lewat separuh masa kedua membantu skuad Harimau Selatan meraih kemenangan kelima berturut-turut, sekali gus menyaksikan mereka kekal di tangga teratas Kumpulan H dengan kutipan maksimum 15 mata berbaki satu perlawanan lagi. Percaturan Ketua Jurulatih JDT, Mario Gomez yang menurunkan barisan kedua pada perlawanan berkenaan memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah yang menyingkap tirai jaringan menerusi penyerang Thiha Zaw pada minit ke-26. Gol tersebut berpunca daripada percubaan pemain import tuan rumah Christopher Chizoba yang gagal dikeluarkan dengan sempurna oleh benteng pertahanan skuad Harimau Selatan sebelum Zaw meluru masuk dan melakukan sepakan kencang untuk melepasi jangkauan penjaga gol JDT, Izham Tarmizi Roslan. Tersentak dengan gol tersebut, skuad Harimau Selatan kembali memperkemaskan jentera serangan dan berjaya meraih gol penyamaan selang empat minit kemudian menerusi Mohd Amirulhadi Zainal bagi mencipta keputusan seri 1-1 hingga tamat perlawanan separuh masa. Sebaik perlawanan bersambung, kedua-dua pasukan saling menggasak kubu masing-masing bagi mencari gol kedua namun nasib lebih menyebelahi JDT yang menemui jaringan kemenangan menerusi sentuhan penyudah Safee Sali pada minit ke-87. Untuk rekod, JDT sebelum ini berpesta gol ke atas Ayeyawady United selepas menang selesa 8-1 pada aksi pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 24 Februari lepas. Skuad Harimau Selatan yang sudah mengesahkan tiket ke pusingan kedua Piala AFC akan melengkapkan aksi terakhir Kumpulan H dengan melayan kunjungan kelab India, Bengaluru FC di laman sendiri pada 11 Mei ini. -Bernama