KETUA pasukan Kedah Baddrol Bakhtiar mahu rakan sepasukannya berjuang 100 peratus bagi memastikan mereka mampu mendapatkan keputusan seri jika tidak menang ketika bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam separuh akhir kedua Piala FA di Larkin pada Sabtu ini. Menurutnya, ketiadaan dua tonggak tengah Liridon Krasniqi dan Amirul Hisyam Awang Kechik akan mengurang kekuatan Kedah tetapi ini tidak bererti mereka tidak mampu memberi cabaran untuk menang atau seri. “Di atas kertas sudah pasti JDT menjadi pilihan kerana beraksi di stadium keramat mereka. Tetapi dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku jika kita berusaha sepanjang permainan. “Tidak ada Liridon dan Amirul Hisyam tidak apa kerana sebelum ini kita sudah beberapa kali beraksi tanpa kedua mereka ini. Pemain muda yang ada juga telah membuktikan kemampuan mereka dan ia tidak boleh dipandang rendah. “Yang penting kita tidak leka dan mengambil mudah dengan membiarkan lawan bergerak sesuka hati. “Saya juga berpendapat cara terbaik untuk bertahan ialah dengan manguasai bola kerana dengan cara ini sahajalah kita mampu memastikan JDT tidak dapat menjaringkan gol,” katanya kepada mStar Online. Katanya, setelah sekian lama beraksi bersama Kedah, dia yakin barisan pemain muda memiliki keupayaan untuk menandingi mana-mana pemain berpengalaman. "Pemain muda pasukan Kedah ketika ini rata-ratanya juga adalah pemain pelapis negara dan mereka hanya perlu beraksi dengan keyakinan yang tinggi serta taktikal yang diajar oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe. “Lupakan sorakan penonton di stadium lawan kerana mereka sekadar berada di luar padang. Hanya 11 pemain JDT sahaja yang akan berdepan kita, mereka juga perlu mengejar bola yang dikuasai lawan sepanjang permainan," jelasnya.