suria

BAC: Chong Wei Lawan Lin Dan Aksi Separuh Akhir

Chong Wei (kiri) bakal berdepan dengan Lin Dan pada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Asia pada Sabtu.

KUALA LUMPUR: Ujian kemampuan pemain utama negara, Datuk Lee Chong Wei dalam buruan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Ogos nanti, bakal disaksikan dalam Kejohanan Badminton Asia 2016 (BAC) pada Sabtu.

Jaguh negara itu bakal berdepan musuh ketatnya, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir BAC di Wuhan, China, selepas masing-masing mengetepikan halangan suku akhir mereka pada Jumaat.

Pemain berusia 32 tahun dari Pulau Pinang itu menempah tiket ke separuh akhir selepas mengambil masa 49 minit untuk menundukkan pemain Taiwan, Chou Tien Chen 21-16, 21-18.

Terdahulu, Lin Dan menempah tempat di separuh akhir dengan mengalahkan Lee Dong Keun dari Korea Selatan 21-15, 21-11 dalam tempoh 42 minit.

Rekod pertemuan Chong Wei-Lin Dan memihak kepada pemain nombor tiga dunia dari China itu dengan 25 kemenangan berbanding Chong Wei hanya 10 kali.

Ini adalah pertembungan pertama kedua-dua pemain tahun ini selepas kali terakhir mereka bertemu pada separuh akhir Terbuka China pada 14 November tahun lepas di mana Chong Wei melakar kejutan menewaskan Lin Dan di laman lawan itu.

Hasrat pemenang dua pingat emas Sukan Olimpik itu untuk membuat perhitungan dengan Chong Wei pada Terbuka Malaysia baru-baru ini tidak kesampaian selepas tewas kepada Jan Jorgensen dari Denmark di suku akhir. 

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki menyaksikan pemain nombor satu dunia, Chen Long dari China bertemu rakan senegara, Tian Houwei.

Chen Long melangkah ke separuh akhir selepas mengalahkan Tommy Sugiartodari Indonesia dengan straight set 21-16, 21-14 dalam masa 50 minit, manakalaTian Houwei terpaksa berhempas-pulas menewaskan Tzu Wei Wang dari Taiwan 21-15, 19-21, 21-16 dalam pertemuan selama 66 minit. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain