suria

Skuasy Dunia: Massaro Jumpa Sherbini Di Pentas Akhir

Massaro meraikan kemenangannya menentang pemain Mesir Raneem El Welily pada perlawanan separuh akhir kejohanan skuasy wanita dunia PSA di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil, Jumaat. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka, pemain nombor satu dunia dari England, Laura Massaro akan menentang pemain ranking kedua, Nour El Sherbini dari Mesir di pentas akhir Kejohanan Wanita Dunia NAZA PSA pada Sabtu.

Massaro mengesahkan tempatnya selepas mengetepikan cabaran sengit pemain nombor tiga dunia dari Mesir, Raneem El Welily 11-2, 7-11, 11-9, 6-11, 12-10 dalam aksi separuh akhir yang berlanjutan hampir sejam di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil, di sini.

Kejayaan itu membolehkannya meraih peluang mendapatkan gelaran dunia kedua selepas menang kali pertama di Pulau Pinang pada 2013.

Sherbini pula, hanya mengambil masa 29 minit untuk menang 11-5, 11-5, 11-5 ke atas rakan senegara yang juga pemain nombor tujuh dunia, Nouran Gohar, untuk tampil di final kedua selepas 2013, yang menyaksikan beliau tewas kepada Massaro.

Massaro, yang juga naib juara 2012 berkata, bukan mudah untuk menewaskan Raneem kerana lawannya yang berusia 27 tahun itu sentiasa menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanannya.

"Jika anda gagal bermain dengan baik, dia akan pantas menghukum anda. Tapi, saya lega muncul pemenang kerana saya tahu kemampuannya," kata Massaro, 32, yang turut menjinakkan Raneem di separuh akhir edisi 2013 sebelum muncul juara.

Bagi Sherbini, beliau berharap kemenangan ke atas rakan senegaranya itu akan memberi suntikan semangat tambahan untuk menebus kekalahannya kepada Massaro di final edisi 2013.

"Pertemuan kami sering berlanjutan sehingga lima set tetapi saya akan tetap beraksi seperti biasa. Saya akan memberikan yang terbaik dan saya percaya final ini pasti menarik," kata pemain berusia 20 tahun berasal dari Alexandria itu.

Sebagai rekod, Massaro menewaskan Sherbini di Qatar Classic 2015 dan Terbuka Antarabangsa Alexandria 2015 di Mesir sebelum pemain muda itu bangkit menundukkan pemain England tersebut di Terbuka Windy di Chicago, Amerika Syarikat, Februari tahun ini.  -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain